USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

E-PEMBELAJARAN BERKESAN SEBAGAI PLATFORM DIGITAL PERKONGSIAN DAN PEMBELAJARAN

DSC 5967

USM, PULAU PINANG, 8 Mac 2017 - Model e-pembelajaran atau pembelajaran secara dalam talian semakin popular masa kini berikutan keupayaan teknologi maklumat menjadikan pengajaran dan pembelajaran tanpa sempadan dan mampu merentasi setiap negara.

Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) mewakili Naib Canselor, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, model e-pembelajaran ini juga dilihat berkesan dalam membantu memberikan akses teknologi kepada negara-negara bergolak untuk menuntut ilmu.

"Seperti yang sedia diketahui, media sosial seperti facebook banyak digunakan untuk menyebarkan maklumat negara-negara bergolak kepada orang ramai," katanya dalam satu sidang media sempena International Congress of Muslims in Educational Technology (ICMET) di sini, baru-baru ini.

DSC 5973

Tambah Farhan lagi, teknologi ini juga dapat membantu masyarakat yang kurang bernasib baik untuk mendapatkan akses maklumat tanpa had selaras dengan misi USM untuk memperkasakan bakat masa hadapan dan mengupayakan golongan terkebawah demi mentransformasi kesejahteraan sosioekonomi mereka.

“Bilangan pelajar antarabangsa pula akan meningkat dengan fleksibiliti yang digunakan oleh e-pembelajaran selain menjadikan pembelajaran lebih fleksibel dan interaktif,” katanya.

Sementara itu, tokoh akademik e-pembelajaran dan teknologi pendidikan, Prof. Badrul Huda Khan dalam syarahannya berkata, e-pembelajaran adalah satu model pengajaran yang membolehkan pengajar, pelajar dan kandungan pembelajaran ditempatkan di lokasi yang tidak tetap supaya pengajaran dan pembelajaran berlaku secara bebas tanpa mengira masa dan tempat.

"E-pembelajaran membolehkan akses kepada pembelajaran dicapai sehingga 24 jam walau tidak berada di dalam kelas kerana menggunakan capaian online melalui alat elektronik serta lebih menjimatkan kos dan masa pengguna,” jelasnya.

Beliau berkata, perkara yang menarik mengenai penyampaian pembelajaran secara online ialah tentang isi kandungan pembelajaran, persekitaran sesebuah pembelajaran, cara sesebuah grafik dan video berfungsi yang sangat berbeza dengan pembelajaran di dalam kelas.

DSC 6009jkb

Seminar tersebut turut dihadiri Timbalan Presiden Akademik Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Prof. Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi dan hampir 150 peserta yang terdiri daripada dekan-dekan, pensyarah-pensyarah dan pelajar dari USM dan universiti luar.

Majlis yang sama turut menyaksikan pelancaran buku berjudul ‘e-Learning: Open Learning Environment’ karya Profesor Dr. Badrul Huda Khan yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh pensyarah USM Profesor Madya Dr. Rozinah Jamaluddin dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Teks: Rodiah Binti Md Daud & Evelynn Esu Dass (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 1667

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024