USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PINDAHAN KREDIT MELALUI APEL (C) BERI PELUANG KEPADA ORANG RAMAI LANJUTKAN PELAJARAN

BUKIT JAMBUL, PULAU PINANG, 4 Mac 2017 – Orang ramai khususnya mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik kini berpeluang menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melalui laluan APEL (C), iaitu singkatan bagi Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Accreditation of Prior Experiential Learning).

APEL (C) yang diperkenalkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada September tahun lepas merupakan laluan kemasukan alternatif untuk mereka yang pendidikan formal kurang mencukupi untuk sambung belajar ke peringkat lebih tinggi.

Menurut wakil MQA, Ahmad Faiz Ghazali, secara umumnya, penilaian APEL (C) melibatkan penilaian terhadap ilmu yang diperoleh oleh seseorang itu menerusi pengalaman kerja mahupun menerusi pengalaman hidupnya terdahulu, untuk membolehkan pindahan kredit yang memungkinkan pelajar menghabiskan pengajian dalam tempoh yang lebih singkat.

“Orang ramai perlu merebut peluang menerusi APEL (C) untuk memperbaiki kelayakan akademik mereka bagi membantu meningkatkan kerjaya masing-masing.

“Setakat ini hanya empat IPT yang dilantik sebagai pusat penilaian bagi melaksanakan APEL (C) iaitu Wawasan Open University (WOU), Open University Malaysia (OUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan INTI International University,” kata Ahmad Faiz di dalam Seminar Kemasukan Pelajar ke IPT di Vistana Hotel hari ini.

Dia turut menjelaskan, program akademik perlu mendapat penilaian akreditasi profesional dan pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai kelulusan sebelum ia dapat dilaksanakan oleh sesebuah IPT.

“Program-program yang mendapat kelulusan daripada MQA diberi tempoh sepanjang hayat berbanding sebelum ini yang hanya mendapat lima tahun sahaja,” katanya lagi.

Seminar Kemasukan Pelajar ke IPT sempena Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2017 Zon Utara yang dijalankan selama dua hari di USM bermula 4 dan 5 Mac ini dihadiri oleh hampir 100 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru sekolah, kaunselor dan wakil PIBG Sekolah Harian, Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Kolej Matrikulasi dan Sekolah Kecemerlangan serta Unit Bimbingan dan Kaunseling dari negeri Pulau Pinang, Perak dan Kedah Selatan.

Teks: Nur Shahidatul Shahira Bt Zakaria (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)

Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 2101

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024