USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, JPN DAN AMCC BANTU TINGKAT ILMU KEUSAHAWANAN ANAK MUDA

USM, PULAU PINANG, 1 Mac 2017 – Menyedari pentingnya golongan anak muda untuk mempelajari ilmu dan selok-belok perniagaan, Rancangan Keusahawanan, Pusat Rancangan Kokurikulum Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dan American Malaysia Chamber of Commerce (AMCC) telah mengadakan Bengkel Usahawan Muda (Youth Enterprise Programme) kelmarin.

Menurut Penyelaras Program Pengusaha Muda Malaysia, Pulau Pinang, Dato' Tang Hong Yin, melalui bengkel ini, pelajar berpeluang untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan mempelajari pelbagai kemahiran keusahawanan daripada fasilator-fasilator yang berpengalaman dalam bidang keusahawanan.

"Objektif program ini adalah untuk memberi pendidikan sepenuhnya berkenaan tugas-tugas lembaga pengarah dan mempelajari proses-proses pengeluaran produk dalam syarikat kepada pelajar-pelajar yang terlibat," kata beliau ketika berucap merasmikan program ini.

Menurut pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Perempuan Methodist, Lim Hui Enn, dia berminat menyertai bengkel ini kerana dapat mempelajari kemahiran sosial untuk berhadapan dengan dunia luar.

"Saya berharap melalui bengkel ini, saya akan lebih berani untuk berkomunikasi dengan orang ramai kerana salah satu aspek untuk menjadi usahawan yang berjaya ialah melalui kemahiran komunikasi yang baik," kata Hui Enn.

Pelajar dari sekolah sama, Cheryll Cheah pula berkata, dia dapat mempelajari kemahiran keusahawanan yang merupakan satu kemahiran yang penting untuk masa hadapan melalui bengkel ini.

Peserta bengkel dari SMK Bukit Jambul, Haredran Thandavanaiker pula berkata, minat dia untuk menjadi seorang usahawan membuatkan beliau melibatkan diri dalam bengkel ini.

"Saya berharap suatu hari nanti saya dapat menghasilkan satu produk dan memasarkan produk tersebut hingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Program tersebut telah disertai hampir 600 pelajar yang turut melibatkan fasilitator dan guru dan diadakan di Dewan Indah Kembara dan Dewan Harmoni, Desasiswa Bakti Permai, USM.

Teks: Rodiah Binti Md Daud (Pelajar internship PP Komunikasi, USM)

  • Created on .
  • Hits: 996

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024