USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR KUFS KUASAI BAHASA INGGERIS MELALUI BUDAYA MALAYSIA DI USM

IMG 20170220 WA0005

USM, PULAU PINANG, 20 Februari 2017 - Pelajar Kyoto University of Foreign Studies (KUFS), Jepun berpeluang meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan mempelajari budaya Malaysia di Universiti Sains Malaysia (USM). 

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Dr. Leelany Ayob, seramai 32 orang pelajar daripada KUFS merupakan kumpulan kedua yang datang ke USM selepas kumpulan pertama yang datang pada bulan Ogos, 2016. 

"Mereka mula mempelajari bahasa Inggeris ketika di sekolah menengah. Oleh itu, pihak kami perlu menyusun pembelajaran mengikut tahap mereka. 

IMG 20170220 WA0006

"The Test of English for International Communication” (TOEIC) adalah salah satu daripada kursus mereka di KUFS yang wajib lulus dengan melepasi gred yang ditetapkan untuk bergraduasi," kata Leelany.

Jelas beliau lagi, pelbagai aktiviti dijalankan yang memerlukan mereka mempelajari budaya Malaysia dan mempraktikkan penguasaan bahasa Inggeris. 

Mereka diperkenalkan dengan makanan, pakaian, agama dan budaya orang Melayu serta tarian tradisional orang Melayu.

Usaha mereka bertutur dalam bahasa Inggeris dapat dilihat semasa mendapatkan maklumat mengenai aktiviti yang dijalankan.

Peserta yang ditemui, Naoya Yokouchi, English 3, berpendapat  program ini sangat menarik kerana dapat belajar mengenai budaya dan makanan orang Melayu. 

untitledjknkl

"Saya cadangkan supaya kami dapat belajar menguasai Bahasa Inggeris melalui pemahaman dan penghayatan budaya Malaysia yang unik," katanya.

15 tahun lalu, Naoya Yokouchi pernah ke Australia dan terpaksa bertutur dalam bahasa Inggeris menyebabkannya bertekad untuk meningkatkan penguasaan bahasa tersebut dengan mengambil kursus Bahasa Inggeris di universiti.

Juna Kataoka, English 3, pula berpendapat bahawa program seperti ini dapat meningkatkan kemahiran bertutur dan menyebut perkataan bahasa Inggeris dengan betul. 

"Program ini membolehkan peserta berkenalan dengan kawan baharu dan kini saya mulai suka dengan orang Malaysia terutamanya warga USM walaupun pertama kali datang ke Malaysia," katanya.

IMG 20170220 WA0004

Tambah Juna lagi, selepas lima minggu berada di USM, beliau bercadang untuk datang lagi ke Malaysia sebagai pereka fesyen suatu hari nanti selepas tamat pengajiannya untuk memperkenalkan fesyen dan budaya Jepun kepada masyarakat di Malaysia. 

Program ini dijalankan di Galeri Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM yang turut dihadiri oleh beberapa orang pensyarah PPIK yang lain. 

Teks: Nur Shahidatul Shahira bt Zakaria (pelajar internship PP. Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 1534

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024