USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KASUTRA PERJUANG TRADISI PULIHARA WARISAN MELAYU

16806847 1319177838143246 1552748684602660150 n

USM, PULAU PINANG, 18 Februari 2017 – Karnival Sukan Tradisional (KASUTRA) Universiti Sains Malaysia (USM) buat kali ke-9 meneruskan kesinambungan tradisi memulihara warisan Melayu agar ia sentiasa diperjuangkan untuk generasi akan datang.

Bertemakan ‘Budaya Warisan Mencorak Keperibadian Bangsa’, Karnival anjuran Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Sains Malaysia (PSSCMUSM) ini bukan sahaja mengajak generasi kini menghargai seni warisan Melayu tetapi mendidik agar mampu menzahirkan erti perpaduan dan muhibah yang sepatutnya dipertahankan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Prof. Dato’ Dr. Adnan Hussein berkata jika dikaji, sukan tradisional Melayu mempunyai keunikan tersendiri yang mampu memberi manfaat untuk semua.

16649055 1319178031476560 8037578435091802990 n

“Aktiviti fizikal dan permainan minda yang terlibat dalam kebanyakan permainan tradisional ini mampu untuk menzahirkan erti perpaduan, apatah lagi jika dikaitkan dengan kelestarian, sebahagian besar daripadanya adalah berasaskan penggunaan bahan-bahan bersumberkan alam sekitar untuk tujuan rekreasi dan mengisi masa lapang secara kreatif dan inovatif.”

Tambahnya, permainan tradisional seperti tarik tali, sepak raga bulatan, konda-kondi, galah panjang, tarik upih dan sebagainya yang dianjurkan merupakan satu warisan turun temurun yang mampu dijadikan wacana dan wadah bagi generasi muda menilai kebijaksanaan mereka dalam memahami budaya masyarakat Melayu.

Beliau berucap mewakili Naib Canselor ketika merasmikan Karnival Sukan Tradisional Kali Ke-9 Peringkat Zon Utara di Stadium Olahraga USM hari ini.

Turut hadir adalah Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi, Muhammad Mohd Hanif; Penasihat 1 Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCMUSM) Dr. Abdul Hafiz Abdul Majid; Pengarah Projek KASUTRA, Daniel Arief Hafiz Shamsul Ariffin; pegawai utama Universiti dan barisan pengurusan tertinggi PSSCMUSM.

Jelas Adnan lagi, usaha seperti ini diharap dapat dilakukan secara ilmiah dan pada masa yang sama dipopularkan kembali dalam bentuk yang lebih menarik minat generasi muda dan anak-anak yang membesar dalam zaman teknologi canggih.

“Cabaran besarnya ialah bagaimana untuk menjadikannya sentiasa relevan dan realistik apatah lagi berupaya menarik perhatian dan minat ramai untuk menghargai dan mempopularkannya sebagai sukan massa yang berupaya menyatupadukan masyarakat serta mengajak anak-anak keluar daripada terperap di hadapan skrin “tablet”, komputer riba atau layar putih yang menjadi sebahagian daripada punca penyakit dan obesiti.”

KASUTRA ke-9 melibatkan penyertaan 8 buah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan 400 orang pelajar bertanding dalam pelbagai permainan tradisional Melayu.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar / Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 2279

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024