USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SMART BANTU KURANGKAN KADAR KETAGIHAN PENAGIH DADAH

untitledi9ty89789

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Februari 2017 – Klinik Pengubatan Penagihan atau dikenali sebagai SMART (Substance Misuse Advanced Research And Training) merupakan klinik yang memberi rawatan bagi penyalahgunaan pelbagai jenis dadah termasuk Methamphetamine dan Opioid selain berfungsi sebagai klinik rawatan terapi gantian Methadone untuk penyalahgunaan Opioid yang telah ditubuhkan pada tahun 2009 dan telah memberikan rawatan kepada lebih daripada seratus pesakit di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).

Ketua Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Madya Dr. Asrenee Abd Razak berkata, rawatan terapi gantian Methadone adalah salah satu strategi utama dalam “Harm Reduction Programme” untuk pengguna dadah jenis Opioid.

“Ia bertujuan untuk mengelakkan jangkitan virus bawaan darah seperti Human Immunodeficiency Virus (HIV), Hepatitis C dan Hepatitis B yang berpunca daripada perlakuan penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan.

“Melalui klinik SMART, pesakit yang dibawa oleh keluarga secara sukarela untuk mendapatkan rawatan dan penagih yang telah dirujuk oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) atau agensi lain dan disaring oleh Hospital USM, akan diberi ubat gantian Methadone di bawah pengawasan Pegawai Perubatan," katanya.

Menurut Asrenee, Methadone ialah sejenis dadah sintetik yang mempunyai kesan yang sama seperti Heroin atau Morfin serta mampu bertahan lama dalam badan di samping membantu mengurangkan ketagihan sekiranya penagih itu berhenti mengambil dadah.

“Methadone perlu diambil secara oral atau melalui mulut dan kaedah ini dapat mengatasi pelbagai masalah yang dikaitkan dengan penggunaan atau perkongsian alat-alat suntikan sekaligus dapat mengurangkan atau menghilangkan tindak balas heroin dalam badan manusia," jelasnya.

Tambah Asrenee, pengambilan Methadone juga dapat membantu mengurangkan risiko jenayah, mengembalikan penagih kepada keluarga dan masyarakat serta mengubah penagih menjadi individu yang lebih bertanggungjawab.

"Selain itu, SMART juga memberikan rawatan sokongan untuk penyalahgunaan dadah yang lain seperti Methamphetamine atau pil kuda.

"Penguna dadah jenis Methamphetamine, Syabu dan ice mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami penyakit mental antaranya gangguan tingkahlaku agresif, halusinasi, delusi dan juga kemurungan," ujarnya lagi.

Asrenee berkata, pengambilan dadah jenis Methamphetamine ini mampu merangsang otak yang menyebabkan rembesan Dopomine atau ‘neurotransmitter’ yang berlebihan hingga boleh menyerupai simptom Skizofrenia.

Jelas Asrenee lagi, SMART juga menyediakan aktiviti latihan untuk pelajar perubatan serta ijazah lanjutan di samping menjalankan aktiviti penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Ketika ini, SMART sedang giat menjalankan kajian bagi mengenalpasti rawatan bagi penyalahgunaan dadah baharu dengan kerjasama Pusat Racun Negara dan Yale University, Amerika Syarikat dan semua aktiviti di unit ini diselaras oleh seorang pakar pengubatan penagihan iaitu Dr. Mohd Azhar Mohd Yasin.

"Dengan kepakaran yang dimiliki beberapa Pakar Psikiatri di Hospital USM, saya percaya pasukan ini akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit dalam membantu memulihkan mereka menjadi manusia yang rasional dari terus bertindak di luar batasan," katanya.

Teks/foto: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 2528

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024