USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KONGSI KEPAKARAN NEUROSAINS

untitledreger

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Februari 2017Otak adalah bahagian paling penting dalam anatomi manusia untuk menjamin kualiti hidup yang optimum kerana otak merupakan salah satu organ paling kompleks yang boleh diibaratkan sebagai takhta kepintaran, penterjemah pancaindera, pemacu pergerakan badan, dan pengawal tingkah laku. 

Pembedahan otak boleh menimbulkan ketakutan dan kerisauan, tetapi kemahiran pakar perubatan profesional boleh memberi kelegaan serta harapan baharu kepada pesakit yang mendapat kecederaan dalam kemalangan, mengalami pelbagai masalah perubatan atau ketumbuhan otak.

Ketua Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Zamzuri Idris berkata, apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, rawatan saraf memerlukan penjagaan paling rapi, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan prosedur invasif atau pembedahan.

untitledertert

“Terdapat banyak penyakit kompleks lain yang memerlukan sentuhan kemahiran pakar bedah dan apa yang lebih penting, keprihatinan doktor untuk menenangkan dan mengurangkan kebimbangan serta ketakutan pesakit.

“USM mempunyai lebih 20 pakar Neurosains Asas yang ditempatkan di Jabatan Neurosains atau “Neurosciences Centre” dan memiliki peralatan yang canggih seperti Functional Magnetic Resonance Imaging (FMRI), Magnateoecephalography (MEG), Electrocorticography (ECOG) dan banyak lagi,” katanya.

Tambah Zamzuri, Jabatan Neurosains juga menumpukan penyelidikan dalam kajian sains asas dan klinikal yang menjanjikan peluang dan kualiti rawatan kepada pesakit neuro di Malaysia.

“Ini terbukti apabila Hospital USM menerima rujukan pesakit dari seluruh Asia Tenggara berdasarkan kepakaran dan kemudahan pembedahan saraf dan otak seperti ‘Deep Brain Stimulation’, ‘Dystonia’, ‘Tourette’ dan banyak lagi.

untitledertertret

“Hospital USM juga mempunyai prasarana untuk menjalankan pembedahan otak secara sedar atau ‘Awake Craniotomy’ dengan kemudahan peralatan seperti ‘Electrocorticography’, ‘Electroencephalography’ dan ‘Bipolar Stimulation’ selain turut mempunyai kepakaran dalam melaksanakan teknik pemetaan sebelum dan semasa pembedahan otak (Brain Mapping),” ujarnya lagi.

Zamzuri yang juga Pakar Pembedahan Saraf, Otak dan Tulang Belakang berkata, beliau dan Pengarah Pusat Perkhidmatan Dan Penyelidikan Neurosains (P3Neuro) USM, Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah turut terpilih dan tersenarai antara 36 pakar dari seluruh dunia sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Pemetaan Otak dan Terapeutik (SBMT) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

“Pemilihan tersebut berdasarkan kejayaan kami melaksanakan teknik pemetaan otak dalam pembedahan otak pesakit di Hospital USM kerana melalui teknik ini bahagian yang terjejas akibat penyakit atau rosak dapat dikenal pasti serta hanya bahagian yang rosak atau sakit dibedah tanpa mengganggu bahagian yang lain.

untitledrtetretr

“Teknik pemetaan otak dalam pembedahan itu banyak dilakukan di Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk kajian dari Pusat Kajian Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA),” jelasnya.

Menurutnya, Wad Neuro Intensive Care Unit (Neuro ICU), Hospital USM juga dilengkapi pelbagai peralatan canggih untuk memantau keadaan pesakit seperti ‘Electroencephalogram’ (EEG), ‘Transcranial Doppler’ (TCD), 'Intracranial Pressure (ICP) Monitoring’, ‘Hypothermia’ dan banyak lagi.

Teks/Foto: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel & Anawiah Abdul Aziz

  • Created on .
  • Hits: 2039

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024