USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ADIKARMA USM PAMER KEUNIKAN KESENIAN BUDAYA MALAYSIA DI THAILAND

16298627 10211404694856897 8166231025823114666 n

USM, PULAU PINANG, 29 Januari 2017 - Kumpulan Kesenian Adikarma Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan persembahan kebudayaan yang unik di Program ASEAN Cultural Exchange 2017 bersempena dengan Minggu Terbuka Prince of Songkla University (PSU) Kampus Trang pada 25 hingga 30 Januari 2017 dan Festival Melayu Wilayah Che Bilang, Satun Thailand 28 hingga 29 Januari 2017.

Menurut Pegawai Kebudayaan Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Zulkifli Che Hussin, program-program sebegini banyak memberi pendedahan dan juga pertukaran budaya antara negara dan lebih manis ianya melalui institusi pendidikan tinggi seperti USM.

Tambahnya, melalui penyertaan sebegini, USM berpeluang untuk menunjukkan bakat budaya yang dimiliki oleh para pelajarnya dari pelbagai latarbelakang ke seluruh pelusuk dunia melalui persembahan yang dipertontonkan justeru ia sekaligus dapat menyerlahkan kemantapan serta kredibiliti USM sebagai sebuah universiti Sains yang mempunyai pasukan kesenian yang makin tersohor ini.

"Program ASEAN Cultural Exchange 2017 telah menghimpunkan universiti-universiti di bawah negara ASEAN bagi mengadakan perkongsian ilmu, pertukaran dan pembelajaran kemahiran kebudayaan melalui persembahan dari universiti dan negara masing-masing.

“Manakala Festival Melayu Wilayah Che Bilang pula untuk memartabatkan bangsa dan budaya Melayu di daerah Satun Thailand selain mengeratkan hubungan perpaduan antara peradaban Melayu Thailand dan Melayu asli," jelasnya.

Ujarnya lagi, pengisian bagi Program ASEAN Cultural Exchange 2017 sangat berimpak kerana melibatkan bengkel kebudayaan, sesi mempelajari dan mempersembahkan kebudayaan negara, persembahan kebudayaan setiap universiti, ucaptama bertajuk "ASEAN: Unity in Diversity” oleh Mantan Setiausaha Agung ASEAN Dr. Surin Pitsuwan, forum berkenaan "Understanding ASEAN" dan sesi pembentangan akademik tentang budaya dan gaya hidup masyarakat ASEAN.

Program ASEAN Cultural Exchange 2017 telah melibatkan penyertaan 20 pelajar dari USM, PSU Kampus Trang, UUM, UIAM serta Persatuan Pelajar Indonesia PSU manakala Festival Melayu Wilayah Che Bilang melibatkan penyertaan hampir 1,000 peserta dari badan berkanun Melayu Thailand, USM (Adikarma dan Dewan Budaya), sekolah-sekolah pondok agama Satun dan sekolah-sekolah rakyat Satun Thailand.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Zulkifli Che Hussin

  • Created on .
  • Hits: 1803

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024