USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-TUDM TEKAD HASILKAN BAKAT BERKUALITI UNTUK NEGARA

16406666 1296029553791408 1919148833901886973 n

NIBONG TEBAL, 28 Januari 2017 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bertekad merencana pelbagai program jati diri dan kepimpinan buat mahasiswa agar dapat merealisasikan hasrat negara menghasilkan bakat yang berkualiti.

Kerjasama erat sekian lama antara kedua-dua pihak mampu melonjak aspirasi negara bagi melahirkan mahasiswa yang berintegriti, berdisiplin serta cintakan agama, bangsa dan negara.

Demikian kata Assistant Ketua Staf Tadbir, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Brig. Jen. Dr. Ismail Mahuri yang mahukan USM sentiasa menjadi tulang belakang TUDM bagi usaha melahirkan pemimpin berwibawa kepada pertahanan kedua negara ini.

"Saya amat mengharapkan penglibatan sepenuhnya anggota TUDM dan tenaga pakar USM menyumbang bakti buat pegawai-pegawai muda PALAPES Udara agar mereka menjadi warga berdisiplin dan mempunyai jati diri yang kukuh," katanya.

Jelasnya Latihan Kem Tahunan PALAPES Udara selama 2 minggu seperti ini merupakan pendekatan terbaik dilaksanakan USM-TUDM bukan sahaja sebagai latihan instrumen terbaik bagi seorang tentera, malah membolehkan mereka sentiasa bersedia diatur gerak dalam apa jua keadaan.

Beliau berucap ketika merasmikan Majlis Penutup Latihan Kem Tahunan PALAPES Udara Universiti Awam 2017 di Dewan Utama, USM Kampus Kejuruteraan, di sini malam tadi.

Yang turut hadir Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan suami, Dato’ Dr. Ahmad Zakaria; Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM merangkap Timbalan Komandan PALAPES Udara USM, Lt. Kol. (K) Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein; Pengarah Pasukan Simpanan Tentera Udara TUDM, Kolonel Muhammad Shafiq Jahudi dan Penolong Naib Canselor/Pengarah Kampus Kejuruteraan USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Latihan Kem Tahunan Palapes Udara Universiti Awam 2017, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan pegawai-pegawai utama USM dan TUDM.

Latihan Kem kali ini memperlihatkan pelbagai latihan mencabar disediakan buat kadet PALAPES terutamanya kemuncak latihan ketenteraan di Hutan Nipul Kepah selain pertandingan kawat kaki, jalan basah, eco- challenge, latihan menembak dan karnival sukan.

Enam buah Universiti Awam iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA Malaysia (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan USM terlibat dengan sejumlah anggota seramai 1,100 orang kadet, 100 orang Pegawai dan Jurulatih serta 1,000 orang Pegawai Muda dan Pegawai Kadet seluruh Universiti Awam.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar / Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 1191

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024