USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, NCBE KOLABORASI KEMBANGKAN PENDIDIKAN BAHASA INGGERIS

athma1

USM, PULAU PINANG, 24 Januari 2017 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus melebarkan kerjasama dengan Nagoya City Board of Education (NCBE), Jepun dalam bidang pendidikan terutama dalam bidang Bahasa Inggeris.

Kerjasama itu termeterai dalam satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangkumi pertukaran informasi, akademik, linguistik dan aktiviti budaya membabitkan staf dan pelajar kedua-dua organisasi berkenaan.

MoU ditandatangani oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan disaksikan Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed manakala NCBE pula diwakili Superintendannya, Masami Sugisaki dan Guru Perunding, Takahiro Kukita.

athma2

Menurut Asma, USM sudah menjalinkan kerjasama dengan 33 buah institusi dari Jepun dalam pelbagai bidang namun dengan NCBE adalah kali pertama.

“Antara institusi dari Jepun yang sudah menjalinkan kerjasama dengan USM ialah Toyohashi University of Technology (TUT), Kyoto University of Foreign Studies (KUFS), RIKEN Institute, Toray Industries, Sumitomo Foundation, Japan Advanced Institute of Science and Technology (JAIST) dan banyak lagi,” kata Asma.

Katanya lagi, diharap kerjasama ini akan membolehkan kedua-dua pihak belajar, menambah baik dan memahami budaya supaya dapat dipraktikkan di institusi masing-masing.

athma3

"USM mengalu-alukan hubungan kerjasama ini kerana ia juga akan meningkatkan mobiliti staf dan pelajar antara USM dan sekolah-sekolah tinggi di Nagoya.

Sementara itu, Superintendan NCBE, Masami Sugisaki berkata, kalau dilihat dari segi sejarah, hubungan antara Malaysia dan Jepun telah wujud sejak abad ke-15 lagi dalam pelbagai bidang.

Jelasnya NCBE kini dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah institut pendidikan yang bersifat global dan berharap dengan termeterainya perjanjian ini kedua-dua institusi dapat bekerjasama dengan lebih gigih untuk mengembangkan pendidikan antara Malaysia dan Jepun.

"Antara yang menarik dalam kerjasama ini ialah pensyarah USM akan mengendalikan kuliah bagi pelajar sekolah tinggi Nagoya secara telesidang selain menjadi pensyarah jemputan di sekolah tinggi Nagoya," tambah beliau.

Nagoya dengan populasi lebih 2.2 juta adalah antara tiga bandar metropolitan terbesar di Jepun selepas Tokyo dan Osaka serta mempunyai 415 institusi pendidikan daripada peringkat prasekolah hingga universiti.

Yang hadir sama dalam majlis ini Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Profesor Dr. Hairul Nizam Ismail, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Profesor Dr. Narimah Samat, Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan Profesor Dr. Tengku Sepora Tengku Mahadi, Pengarah Pusat Kebudayaan Jepun KUFS-USM Masatoshi Soeda serta pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 781

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024