USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESOR AHMAD FARHAN DILANTIK TNC AA BAHARU USM

untitled

Pakar dalam bidang Kejuruteraan Pengangkutan, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, 50, telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Malaysia (USM) bermula 15 Mac 2017 selama tiga tahun.

Beliau menggantikan Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, 58, yang mula menyandang jawatan tersebut pada 15 September 2007.

Ahmad Farhan, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor, memperolehi ijazah sarjana Muda Kejuruteraan Awam daripada The Catholic University of America, Washington DC.  (1988);  Diploma Imperial College (DIC) daripada Imperial College of Science, Technology and Medicine (1990); Sarjana Sains dalam bidang Pengangkutan (MSc in Transport, 1990) daripada  University of London dan Doktor Falsafah dalam Pengajian Pengangkutan (Ph.D. in Transport Studies, 1995) daripada University of London.

Anak sulung dari tiga beradik ini adalah anak kepada seorang ahli ekonomi yang pernah berkhidmat dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) manakala ibunya adalah seorang guru dan pengetua sekolah yang pernah juga berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah USM pada tahun 1995, pernah menyandang jawatan Penyelaras Unit Inovasi dan Pembangunan Teknologi (2000 – 2004), Dekan Pelantar Penyelidikan Kejuruteraan dan Teknologi (2004 – 2006) dan Pengarah Inovasi, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi USM (2006 – 2007).

Ahmad Farhan kini adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM dan juga Dekan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dan pernah juga dipinjamkan sebagai  Ketua Pengarah Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) pada tahun 2008 – 2011.  Sejak tahun 2016, beliau dilantik sebagai Ketua Kluster NBOS Keselamatan Jalanraya Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Ahmad Farhan turut terlibat dalam pelbagai jawatankuasa di peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang melibatkan bidang kepakarannya iaitu pengangkutan yang meliputi keselamatan jalan raya, pengangkutan awam, kelestarian pengangkutan, Sistem Pengangkutan Pintar (Intelligent Transport System – ITS) serta tingkahlaku perjalanan dan kejuruteraan trafik (travel behavioural and traffic engineering).

Sejak 2010, beliau dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) oleh YAB Perdana Menteri. 

Dalam dunia profesional, beliau merupakan Ahli Majlis Road Engineering Association of Malaysia (REAM), Ahli Majlis Intelligent Transport System (ITS) Malaysia, Ahli Institution of Transportation Engineers (ITE), Institution of Engineers Malaysia (IEM), Road Engineering Association of Asia and Australia (REAAA), Transportation Science Society of Malaysia (TSSM). Beliau kini merupakan ahli International  Scientific Committee (ISC) untuk East Asia Society of Transportation Science (EASTS) dan pernah menjadi Pengerusi World Road Association (PIARC) Road Safety Operations bagi tempoh 2008 hingga 2011.  Pada Jun 2013, beliau dilantik sebagai ahli Panel Profesional untuk melihat kembali keselamatan industri pembinaan jalan raya di Malaysia. 

Beliau menerima Anugerah Tokoh Keselamatan Jalan Raya 2015 dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

  • Created on .
  • Hits: 1286

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024