USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR HASILKAN BURGER OKARA DARI HAMPAS KACANG SOYA

EAM 4076

USM PULAU PINANG, 6 Disember 2016 – Pelajar tahun akhir pengajian Teknologi Makanan Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta produk dari hampas kacang soya kepada kepingan daging burger berasaskan sayuran seratus  peratus. Ciptaan ini merupakan projek tahun akhir mereka yang dipamerkan dalam pameran produk ciptaan pelajar yang dikatakan mampu memberi impak yang positif kepada masyarakat.

Nadhirah Sh Salleh, 23, yang mengetuai kumpulan pelajar tersebut menjelaskan, di pasaran kini terdapat kepingan burger daging yang tertumpu kepada pemprosesan ayam dan daging sebagai bahan utama, namun melalui inovasi yang dinamakan ‘Burger Okara’ ini, sasaran pasaran produk ini ialah ‘vegetarian’.

EAM 4083

“Produk yang kami hasilkan ini menggunakan 90 peratus hampas kacang soya yang telah dijadikan tepung sebelum dicampur dengan beberapa jenis sayur-sayuran yang lain seperti ubi kentang, lobak merah dan daun saderi untuk menghasilkan daging burger Okara ini,” katanya.

Tambahnya, idea untuk menghasilkan inovasi yang dikatakan mampu dijadikan makanan berkhasiat di samping rasanya yang enak telah bermula sejak tiga bulan yang lalu apabila rakannya melihat industri kacang soya ini mampu menjanakan pendapatan.

“Pada masa akan datang, mungkin kami akan mempelbagaikan lagi produk yang berasaskan hampas kacang soya ini seperti penghasilan biskut dan berharap dengan adanya produk-produk seperti ini mampu membantu usahawan-usahawan di luar untuk meraih pendapatan,” katanya lagi.

EAM 4095

Seramai 15 kumpulan mengambil bahagian dalam pameran yang dikategorikan kepada kumpulan teknologi bioproses dan teknologi makanan.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 2382

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024