USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR USM DARI SEMPORNA BANTU KELUARGA TERLIBAT KEBAKARAN

IMG 20150407 WA0018

PULAU PINANG 3 April 2015 – Prihatin dan terkesan dengan kejadian kebakaran yang memusnahkan kira-kira 500 buah rumah baru-baru ini yang salah satunya milik keluarga pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), tiga sukarelawan bergegas ke Kampung Bangau Bangau Semporna untuk menghulur bantuan.

Misi dengan nama Ops Bakar itu diketuai oleh Syafiq Ismail, pelajar tahun tiga dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, yang mana keluarganya turut terlibat dengan kejadian malang yang mengakibatkan kira-kira 3,000 penduduk tinggal sehelai sepinggang itu.

Syafiq dengan dua lagi Kor Sukarelawan Siswa, Azfar Mohd Asri dan Mohd Zulfiqah Mohd Nizar berlepas dari Pulau Pinang hari ini bagi menghulurkan bantuan, antaranya menyerahkan kutipan derma kilat, penyerahan pakaian dan bantuan kelengkapan harian termasuk makanan dan pakaian kepada mangsa.

Beliau ketika dihubungi berkata, misi tersebut dilancarkan bagi meringankan kesengsaraan mangsa yang kini ditempatkan di pusat penempatan sementara di kampung berkenaan.

IMG 20150407 WA0020

“Kita amat berterima kasih kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Penghuni Desasiswa (MPD) yang amat prihatin dalam mengatur bantuan, termasuk melancarkan tabung kutipan untuk disalurkan kepada mangsa,’’ ujarnya.

Mengulas keadaan keluarganya pula, Syafiq yang juga anak bongsu dari tiga beradik itu berkata, keadaan di sana termasuk keluarganya kini tenang dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan.

IMG 20150407 WA0033

IMG 20150407 WA0035

Katanya, ketika kejadian empat ahli keluarga termasuk ibu bapa dan kakak beliau berada di rumah namun sempat menyelamatkan diri.

“Saya akan membantu sebaik mungkin, apatah lagi mangsa-mangsa yang terlibat adalah dalam kalangan orang-orang yang dekat di hati termasuk keluarga, kenalan dan jiran tetangga yang dikenali dari kecil,’’ ujarnya.

Perjalanan untuk ke Kampung Bangau Bangau mengambil masa 45 minit menaiki penerbangan dari Kota Kinabalu ke Tawau serta tambahan selama 1 setengah jam perjalanan darat dari Tawau ke kampung berkenaan.

IMG 20150407 WA0037

IMG 20150407 WA0041

Baru-baru ini, akhbar melaporkan lebih 3,000 penduduk di kawasan setinggan Kampung Bangau-Bangau, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran pada kira-kira pukul 2.00 pagi.

Dianggarkan lebih 500 rumah terbakar dalam kejadian di perkampungan atas air itu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1234

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024