USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

EX-SIMO SOKONG EARTH HOUR

KUBANG KERIAN, 28 Mac 2015 - Ekspo Bersih Sokmo (EX-SIMO) yang menjadi sebahagian dari aktiviti menyokong Sambutan Kempen Earth Hour 2015 bersama-sama komuniti global berjaya mencapai sasaran dan memberi makna kepada warga kampus di sini.

Program julung kali diperkenalkan itu anjuran Majlis Penghuni Desasiswa Nurani (MPDN), Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) dan menjadi kemuncak sambutan Earth Hour 2015 yang turut menyaksikan beberapa acara lain termasuk Larian Amal “Go Green Run” yang bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan pada rumah kebajikan. 

Pengarah EX-SIMO, Nurul Amalina Jamil berkata, program yang berkonsepkan amalan hijau tersebut adalah adaptasi warga MPDN dalam memberi sokongan padu kepada budaya melestarikan alam sekitar untuk diwariskan kepada generasi masa hadapan.

Katanya, antara program yang dijalankan termasuk memadamkan lampu dewan selama sepuluh minit sebagai simbolik bagi menunjukkan sokongan kepada usaha-usaha yang signifikan ke arah membendung masalah pemanasan global yang kini kian memuncak.

“Kami komited untuk menyumbang sesuatu kepada dunia dengan sebaik mungkin mengikut kemampuan. Usaha ini walaupun dilihat kecil namun ia memberi makna yang cukup besar buat semua,’’ katanya ketika ditemui pada kemuncak Makan Malam Penutup EX-SIMO baru-baru ini.

Tambah beliau, bagi memeriahkan program pada malam itu pihaknya turut mengatur acara-acara menarik seperti persembahan nyanyian akustik dan nyalaan lilin yang disusun dengan pelbagai bentuk yang disifatkan berjaya mencuri tumpuan tetamu yang hadir.

Dalam pada itu, Penggawa Desasiswa Nurani, Yusoff Abdullah berkata beliau kagum dengan usaha murni yang telah dilakukan oleh para penghuni desasiswa dan menzahirkan rasa bangga setelah melihat hasil memberangsangkan yang dicapai melalui program tersebut.

“Ternyata penganjuran program ini banyak manfaatnya, bukan sahaja mendidik para pelajar untuk bersifat lebih prihatin dan peka dengan keadaan semasa namun dalam masa yang sama turut menyumbang kepada komuniti yang memerlukan bantuan,’’ katanya.

Pada majlis yang sama MPDN turut meraikan dan menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 120 anak-anak kurang bernasib baik dari Rumah Anak Yatim Salimah, Bachok dan Rumah Anak Yatim Putera dan Puteri Harapan Kelantan.

Kedua-dua rumah kebajikan itu menerima sumbangan berjumlah RM 2851.00 yang berjaya dikumpul melalui acara Larian Amal "Go Green Run".

Hadir sama dalam program tersebut ialah Penggawa Desasiswa Murni, Dr. Raja Azman Raja Awang, Penolong Penggawa Desasiswa Nurani, Mirawaty Mat Ghani dan Yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa Nurani, Katrina Wong.  Teks: Mohd Rodin Che Yusoff / Suntingan: Marziana Mohamed Alias / Foto: Sumbangan Kampus Kesihatan Kelantan

  • Created on .
  • Hits: 1442

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024