USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESOR AHMAD FARHAN TOKOH KESELAMATAN JALAN RAYA

farhan

PULAU PINANG , 1 April 2015 - Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah telah dinobatkan sebagai  Tokoh Keselamatan Jalan Raya di atas segala sumbangan beliau dalam kajian dan pelaksanaan program-progran keselamatan jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.

“Ahmad Farhan banyak membantu JPJ dalam pelbagai aspek terutamanya dalam bidang keselamatan jalan raya dan sebagai mantan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) beliau tidak pernah jemu membantu walaupun setelah kembali ke USM,” ujar Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Dato' Sri Ismail Ahmad. 

“Beliau juga sering membantu dalam hal organisasi dan juga dalam semua aspek keselamatan jalan raya di JPJ,” tambah Ismail.

untitled kk

“Banyak perkara yang beliau telah sumbangkan kepada JPJ terutamanya merancang pelan transformasi penguatkuasaan JPJ, membantu dalam melancarkan pelan permulaan dan implementasi untuk kurikulum pemanduan baharu Malaysia dan merangka KPI dalaman JPJ untuk selari dengan visi, misi dan fungsi JPJ dalam melaksanakan keperluan AKTA Pengangkutan Jalan terutamanya untuk matlamat keselamatan jalan raya,” kata Ismail yang menyampaikan anugerah tersebut sempena Majlis Hari JPJ Tahun 2015 .

Bagi Ahmad Farhan pula, beliau melahirkan rasa bersyukur ke hadrat Allah SWT dan mengucapkan terima kasih kepada JPJ dengan anugerah yang diberikan. 

“Saya amat terharu apabila diberi penghormatan ini dan akan terus memperjuangkan misi keselamatan jalan raya sejagat demi keselamatan kita semua yang menggunakan jalan raya setiap hari,” kata Ahmad Farhan yang dipinjamkan sebagai Ketua Pengarah MIROS bermula 1 Ogos 2008 hingga 31 Julai 2011.

untitled lo

“Saya ingin mengajak semua kita untuk sentiasa mengamalkan tahap keselamatan tertinggi di jalan raya kerana kita mampu mengubah prestasi buruk keselamatan jalan raya di Malaysia yang masih lagi mencatatkan 18 hingga 19 kematian setiap hari.

“Mari kita mulakan dengan diri sendiri dan saya mohon semua untuk mengingatkan ahli keluarga terutamanya golongan remaja  supaya tidak memandu kenderaan atau mengawal motorsikal tanpa lesen dan pastikan kita semua memakai topi dan tali pinggang keledar,” ujar Ahmad Farhan yang memperolehi Doktor Falsafah dalam bidang Pengajian Pengangkutan dari University of London. Teks dan Foto Sumbangan: Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah / Suntingan: Nor Rafizah Md Zain 

  • Created on .
  • Hits: 6560

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024