USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

YURAN IPTA KEKAL

31 Mac 2015 - Yuran pengajian dan penginapan di semua 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini tidak akan dinaikkan sewenang-wenangnya sejurus selepas pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Perkhidmatan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini memetik jaminan yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor (JKNC/R) IPTA, Brig Jen Datuk Profesor Dr. Kamarudin Hussin tentang hal ini yang turut menjelaskan bahawa  penyebaran maklumat tentang kenaikan yuran pengajian dan penginapan adalah tidak benar dan hanya untuk mewujudkan situasi panik dalam kalangan mahasiswa.

Beliau menyeru semua mahasiswa agar tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran maklumat yang tidak sahih seperti ini sebaliknya perlu merujuk kepada pejabat hal ehwal pelajar dan kewangan universiti masing-masing terlebih dahulu.

Menurut Kamarudin lagi, kenaikan kos yuran berkenaan juga adalah tidak lojik memandangkan pelajar telah berada di pertengahan semester dengan yuran pengajian dan penginapan telah pun ditolak daripada pinjaman atau biasiswa pelajar.

Beliau berkata kerajaan telah menyatakan dengan jelas bahawa semua program akademik yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta kesemua perkara yang terbabit secara langsung dengan aktiviti pengajaran pembelajaran tidak akan dikenakan GST.

"Memandangkan hampir kesemua program akademik yang ditawarkan di universiti diiktiraf MQA, maka GST tidak akan dikenakan ke atas yuran, serta perkara lain yang berkenaan secara langsung dengan penawaran program-program ini.

"Sebagai contoh, program pengajian berstatus eksekutif khususnya yang ditawarkan kepada pelajar pasca siswazah terpaksa dinaikkan memandangkan penawaran kursus tersebut adalah bermotifkan keuntungan, manakala bagi yuran penginapan pula, sewaan penginapan di luar semester pengajian terutama daripada pihak luar akan turut dikenakan CBP," kata beliau seperti laporan Bernama itu lagi.

  • Created on .
  • Hits: 1358

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024