USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SASAR 5,000 PELAJAR ANTARABANGSA MENJELANG 2020

IMG 0010

PULAU PINANG, 30 Mac 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) meletakkan sasaran pengambilan sehingga 5,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2020, selaras dengan usaha pengantarabangsaan Universiti.

Sasaran tersebut adalah antara perincian dasar pengantarabangsaan USM untuk tempoh lima tahun ke hadapan, disertai dengan program-program tertentu yang akan dilaksanakan secara intensif bersama warga Universiti.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, enam perkara utama akan diberi perhatian untuk memastikan segala perancangan berjalan dengan baik termasuk melihat bagaimana USM dapat meningkatkan pengambilan pelajar antarabangsa dan mengantarabangsakan pelajar tempatan.

Katanya, beberapa pelan tindakan telah dikenalpasti termasuk meningkatkan usaha dalam melebarkan program-program usahasama akademik serta program persisir yang diyakini dapat membantu mencapai sasaran tersebut.

“Dengan adanya program persisir dan usahasama akademik ini baik bagi program-program baru atau sedia ada, USM berpeluang untuk merealisasikan sasaran 5,000 pelajar seperti yang ditetapkan.

IMG 0025

“Dalam masa yang sama USM juga akan dapat menambah bilangan tenaga akademik antarabangsa dengan menggunakan kaedah pengurusan persisir dalam menawarkan program-program di peringkat global,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual sempena Bengkel Pengantarabangsaan USM yang disertai oleh pengurusan utama dan ketua-ketua jabatan USM di Dewan Persidangan Universiti, di sini hari ini.

Tambah beliau, dasar pengantarabangsaan turut melihat kepada keperluan meningkatkan kolaborasi dengan rakan strategik global  dalam bidang akademik termasuk dalam penawaran program berkembar serta persisir.

Omar juga berkata, USM juga perlu melihat pendekatan terkini yang mampu menarik minat pelajar antarabangsa termasuk mencari tempat baharu yang lebih strategik untuk membina kampus bertaraf antarabangsa pada masa hadapan.

IMG 0024d

Selain itu katanya, USM turut memperincikan usaha memantapkan kolaborasi termasuk dalam menjalankan kajian bersama dengan universiti-universiti serta institut penyelidikan terkemuka di peringkat antarabangsa.

“Kolaborasi boleh dibuat dengan menghasilkan penerbitan-penerbitan yang sesuai dan melihat bagaimana kita boleh memanfaatkan jaringan dengan cara pengkomersialan bersama atau perpindahan ilmu.

“Kita juga akan melihat bagaimana USM dapat mengantarabangsakan komunitinya bagi memastikan Universiti ini boleh terus ke hadapan dan menjadi tersohor di peringkat antarabangsa,’’ katanya.

Omar juga berkata, usaha ke arah meningkatkan kebolehpasaran graduan di peringkat antarabangsa turut menjadi antara agenda yang diperincikan dan dijayakan.

IMG 0002l

Dalam pada itu, beliau juga berpendapat pengantarabangsaan turut membuka ruang kepada persaingan yang sihat untuk institusi pengajian tinggi berkembang dan memacu dunia ilmu tanpa sempadan.

"Pun begitu, persaingan bukan hanya di dalam negara, tetapi mesti mengambilkira persaingan global dengan mengambil contoh institusi pengajian tinggi luar negara yang lebih pantas melakukan perubahan,’’ ujarnya. - Teks: Marziana Mohamed Alias & Siti Naquiah binti Abdillah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1344

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024