USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIGA FOKUS DIBINCANG PERTINGKAT JARINGAN UNIVERSITI-INDUSTRI

IMG 0015

PULAU PINANG, 30 Mac 2015 – Tiga perkara utama yang bertunjangkan kepada meningkatkan pencapaian jaringan universiti-industri dibincang oleh delegasi lebih 100 pemimpin universiti Asia dan Eropah di Hangzhou, China baru-baru ini.

Perbincangan menjurus kepada melihat strategi yang boleh diambil dalam memantapkan kolaborasi di antara universiti dan industri atau perniagaan yang dilihat sebagai model terbaik dalam meneraju dunia ilmu masa hadapan.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, asas kepada perbincangan tertumpu ke arah membolehkan kedua-dua pihak memberi manfaat kepada bakal graduan, pensyarah mahupun individu dalam universiti mahupun industri berkenaan.

Katanya, tiga fokus utama dibincang secara terperinci termasuk langkah terbaik dalam meningkatkan kobolehpasaran graduan sama ada dalam aspek bilangan atau pun kemahiran.

``Perbincangan juga melihat bagaimana perkongsian ini boleh mempertingkatkan ekosistem keusahawanan di universiti yang kemudiannya boleh memberi nilai tambah kepada para pelajar dan pensyarah untuk bergelar usahawan.

``Jaringan universiti-industri juga perlu bersama menjadikan teknologi yang dipunyai oleh industri atau perniagaan berupaya menembusi persekitaran pembelajaran baru di universiti, terutamanya pembelajaran sepanjang hayat,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika memperincikan hasil perbincangan bersama rakan-rakan universiti antarabangsa sempena Persidangan Rektor-rektor Asia dan Eropah kali ke-4 di negara dengan populasi penduduk terbesar dunia itu.

IMG 0012h

Omar menambah, ketiga-tiga perkara ini perlu bergerak ke hadapan selepas perkongsian-perkongsian pintar yang sememangnya telah banyak dijalankan di antara universiti dengan industri khususnya dalam bidang penyelidikan dan pemindahan ilmu.

``Dari sini kita mendapat banyak idea untuk menggerakkan jaringan universiti-industri kita secara lebih berstruktur dan berkemungkinan USM juga boleh menganjurkan persidangan di antara universiti-industri.

``Ia boleh dibuat bagi meneliti kerjasama dan merangka pelan tindakan tertentu yang boleh diambil pada masa hadapan terutamanya kepada universiti yang telah mempunyai Majlis Penasihat Universiti-Industri di tiap-tiap pusat pengajian,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Omar juga berkata, USM secara prinsipnya telah mendapat persetujuan University of Nottingham, Shanghai bagi kedua-dua pihak menandatangan memorandum persefahaman untuk kolaborasi dalam bidang ekonomi dan kejuruteraan maritim.

Tambahnya, USM turut dipilih sebagai destinasi lawatan beberapa universiti dari luar negara yang berhasrat untuk melihat dan mempelajari kaedah USM menguruskan ekosistem inovasinya.

``USM bersama-sama Naib Canselor Universiti Malaya dan Chulalongkorn University, Thailand bersetuju untuk mengadakan pertemuan khas bagi perbincangan mewujudkan rangkaian universiti penyelidikan Malaysia-Thailand pada Ogos depan di Kuala Lumpur.

``Rangkaian ini diharap dapat meningkatkan usaha-usaha kolaborasi di peringkat antarabangsa dan menambah baik kualiti pengajian tinggi secara lebih holistik,’’ ujar beliau. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1339

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024