USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LANCAR ERS SEBAGAI PERSEDIAAN AWAL HADAPI BENCANA

untitledrgt

KUBANG KERIAN, 23 September 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) membuat persediaan awal menghadapi bencana banjir dengan melancarkan 'Emergency Radio System’ (ERS) USM oleh Pengarah Kampus Kesihatan/Penolong Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed hari ini.

ERS dihasilkan berdasarkan pengalaman semasa banjir besar melanda Kelantan pada tahun 2014 yang lalu. Antara masalah dan kekangan yang dihadapi akibat terputusnya bekalan elektrik ialah untuk berkomunikasi yang menyukarkan proses menyelamat yang banyak bergantung kepada jaringan komunikasi melalui radio amatur pacuan empat roda dalam pengurusan mobilisasi pesakit.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa ERS USM, Dr. Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah, melalui geran Kementerian Pendidikan Tinggi, USM berjaya menghasilkan satu sistem komunikasi yang boleh berfungsi ketika bencana khusus untuk kegunaan mobilisasi pesakit.

"Projek ERS ini mendapat kerjasama daripada Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Kesihatan Negeri serta pacuan empat roda XTra Team yang akan bertindak sebagai petugas di lapangan kerana kenderaan tersebut dilengkapi dengan sistem radio sendiri.

XTra Team dipilih sebagai rakan kerjasama melaksanakan projek ini berdasarkan rekod cemerlang dalam program-program kemanusiaan dan apa yang lebih penting, mereka mendapat lesen daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," tambah beliau.

Dalam kejadian banjir 2014, pesakit yang datang ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) meningkat 200%. Walaupun berlaku peningkatan yang mendadak, tiada masalah dalam menguruskan pesakit ketika itu kerana mendapat bantuan daripada Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

Walau bagaimanapun masalah yang timbul adalah tidak dapat diketahui bila dan bagaimana pesakit datang kerana komunikasi terputus.

Kursus intensif ERS diadakan selama tiga hari di Bertam, Gua Musang yang akan menekankan aspek-aspek perubatan serta bantuan kecemasan kepada pasukan berkenaan serta menerapkan aspek medicolegal dalam bidang perubatan dan kesihatan ketika bencana bagi memantapkan lagi pasukan tersebut di samping latihan menyelamat yang akan diadakan secara berterusan.

Pada peringkat permulaan, sebanyak tiga 'repeater' akan dipasang bagi mendapatkan frekuensi iaitu di Bangunan Hospital USM, Hospital Kuala Krai dan Hospital Gua Musang.Ketiga-tiga tempat ini dipilih adalah kerana risiko untuk ditenggelami adalah tipis walaupun banjir besar seperti tahun 2014 melanda. Tiga frekuensi diwujudkan berbeza mengikut daerah kerana setiap daerah mempunyai frekuensi sendiri akibat perbezaan masa bencana yang menimpa.

Teks & Foto: Lailatul Hafiza Abdul Rashid

  • Created on .
  • Hits: 857

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024