USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAKIT BERSALIN DAPAT DIKURANGKAN - KUNJUNGI KELAS ANTENATAL

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 Ogos 2016 – Perkembangan teknologi dalam bidang perubatan boleh meredakan kesakitan semasa proses kelahiran yang pastinya suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh ibu-ibu.

"Masyarakat perlu diberikan pendedahan mengenai cara-cara yang boleh mengurangkan kesakitan ketika bersalin yang mempunyai tahap berbeza bagi setiap wanita disebabkan kontraksi rahim.

“Dengan mempelajari pelbagai cara untuk meredakan kesakitan seperti Self-Help, menggunakan gas dan udara (Entonox) dan suntikan mampu mengurangkan kesakitan semasa bersalin,” kata pensyarah Perubatan, Jabatan Obstetrik & Ginekologi (O&G), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Dr. Nik Rafiza Nik Muhamad Afendi.

Tambahnya, memang tidak semua wanita bertuah dapat melahirkan anak tanpa masalah dengan pengalaman berbeza-beza kepada seseorang ibu ketika melahirkan setiap anak juga tidak serupa.

“Ini menyebabkan sesetengah wanita serik untuk hamil lagi sedangkan banyak kaedah dapat digunakan untuk mengurangkan kesakitan semasa bersalin seperti menggunakan suntikan ubat pethidine atau morphine dari kumpulan ubat opiod yang menyebabkan seseorang ibu merasa khayal dan mengantuk dan bayi yang lahir juga mungkin boleh mendapat kesannya yang biasanya bayi diberi ubat antidot iaitu nalaxone sejurus selepas dilahirkan.

“Sedutan gas Entonox (Campuran Gas Oksigen & Nitrus Oksida) memberi kesan yang sama, dalam mengurangkan kesakitan semasa bersalin. Ia juga boleh menyebabkan wanita mengantuk dan kurang cergas ketika bersalin," jelasnya lagi.

Teknik pernafasan, suntikan epidural dan teknik bersalin di dalam air juga boleh digunakan untuk tujuan yang sama dengan suami memberi sokongan emosi kepada isteri yang digalakkan untuk menemani isteri semasa di bilik bersalin bagi memberi sokongan emosi kepada mereka.

Dr. Nik Rafiza menasihatkan ibu yang akan bersalin supaya merujuk kepada pegawai perubatan bagi mendapatkan keterangan lanjut mengenai pilihan dalam mengurangkan stres dan kesakitan ketika proses bersalin yang juga diterangkan di dalam kelas-kelas antenatal yang dianjurkan di Hospital USM di bawah kerjasama Jabatan Obstetrik & Ginekologi dengan Unit Laktasi HUSM.

Ibu mengandung dan pasangan digalakkan untuk mengikuti kelas-kelas antenatal sebagai persediaan untuk melalui kehamilan dan proses kelahiran. Ia merangkumi penjagaan bayi selepas kelahiran.

Teks/Foto: Eddy Masry Mohamed

  • Created on .
  • Hits: 1323

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024