USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TEGUH PENDIRIAN KUNCI CEMERLANG PERIBADI

IMG 0225j

PULAU PINANG, 24 Mac 2015 – Para pentadbir disaran untuk berpegang teguh kepada prinsip hidup masing-masing dan bertekad untuk sentiasa meletakkan kejayaan sebagai matlamat dalam menjalankan bidang tugas.

Mantan Pendaftar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Hajah Zahrah Mokhtar berkata, setiap manusia pastinya mempunyai satu pegangan dalam hidup yang dirasakan betul dan membawa manfaat kepada diri.

``Bila kita berprinsip, berpegang teguhlah padanya. Jangan bila timbul sesuatu perkara kita lenyapkan prinsip kita kerana manusia berprinsip akan sentiasa dihormati dan boleh menambah nilai kepada perkara-perkara yang kita lakukan.

``Kita perlu menerima hakikat bahawa setiap dari kita adalah istimewa dan kita mempunyai kebijaksanaan yang disokong pula dengan kemahiran, watak, nilai, latar belakang dan sebagainya yang perlu digunakan dengan sebaiknya,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalamannya dengan lebih 120 pentadbir Universiti Sains Malaysia (USM) berkaitan topik khas ‘Cabaran Pentadbir Masa Depan’ di Dewan Persidangan Universiti, di sini semalam.

Zahrah telah memulakan kerjaya sebagai pentadbir di UiTM pada 1977 dan kekal di institusi yang pada awalnya dikenali sebagai Institut Teknologi MARA itu sehingga jawatan akhirnya sebagai Pendaftar dan bersara pada November tahun lalu.

Ibu kepada enam cahaya mata tersebut telah berkhidmat selama lebih 37 tahun dan dunia pengurusan dan pentadbiran telah menjadi sebahagian dari kehidupannya walaupun setelah bergelar pesara.

Zahrah juga berkata, untuk menjadi pentadbir cemerlang dan sentiasa bermotivasi, seseorang perlu yakin dan menghormati setiap peranan yang dimainkan oleh kakitangan di bawah selian masing-masing.

``Kita harus budayakan kerja berpasukan kerana ia memberi manfaat yang cukup besar. Malah dalam sesebuah organisasi, setiap dari individu memberi sumbangan untuk menjayakan objektif organisasi.

`Kita sebagai pentadbir dan mempunyai subordinat pula perlu ada sifat-sifat lain yang menjadi tunjang kepada perjalanan organisasi, antaranya yakin, cekap, boleh dipercayai, tegas, berwawasan dan sebagainya,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kepada semua warga pentadbir untuk bekerja dengan ikhlas dan berupaya menambah nilai kepada organisasi yang diwakili.

Katanya lagi, dalam kehidupan harian dan menjawat jawatan penting dalam sesebuah organisasi, seseorang tidak dapat lari dalam membuat pilihan berdasarkan keutamaan dan kebijaksanaan membuat pilihan adalah terletak pada diri sendiri.

``Pun begitu, dalam membuat pilihan juga perlu ada rasionalnya dengan mengambil kira kesan kepada diri, keluarga, organisasi atau apa jua yang berkaitan dengan kerjaya dan kehidupan kita,’’ katanya. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 3766

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024