USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENTADBIR DINASIHATI BERHATI-HATI DENGAN PERATURAN UNIVERSITI

IMG 0215

PULAU PINANG, 23 Mac 2015 - Para pentadbir universiti dinasihati agar sentiasa merujuk kepada Pejabat Perundangan dan berhati-hati dalam pengurusan kewangan kerana ini boleh menimbulkan fitnah, surcaj dan tindakan tata tertib.

Menurut Penasihat Undang-undang Universiti, Khairul Anuar Che’ Azmi, para pentadbir perlu bertindak dengan penuh hati-hati terhadap semua hal yang berkaitan dengan kewangan dan meneliti setiap peraturan yang ada.

“Dalam hal tuntutan perjalanan dan tuntutan-tuntutan lain yang berkaitan kewangan, para pegawai perlu berhati-hati kerana ada kalanya ia akan menimbulkan fitnah, sesetengahnya dikenakan surcaj dan ada juga yang membawa kepada tindakan tata tertib,” kata Khairul Anuar.

IMG 0201

Bercakap kepada kira-kira 120 orang pegawai pentadbiran yang menghadiri Program Keutuhan Pentadbiran Bicara Pentadbir hari ini, Khairul Anuar turut mengingatkan para pentadbir untuk merujuk kepada Pejabat Perundangan dalam hal-hal yang tidak jelas berkaitan dengan peraturan dan perundangan.

“Dalam kes kehadiran ke pejabat misalnya, adalah sukar untuk diambil tindakan kerana rujukan yang dibuat kepada Pejabat Perundangan selalunya tanpa rekod yang sewajarnya dan tiada tindakan awal diambil oleh ketua jabatan, sesetengahnya melibatkan kes yang sudah lama, apatah lagi terdapat  peruntukan untuk ketua jabatan dikenakan tindakan apabila tidak mengambil tindakan apabila staf tidak datang ke pejabat untuk tempoh yang lama tanpa alasan,” kata Khairul Anuar.

Menurutnya lagi, cuti bukannya hak seseorang staf tetapi adalah keistimewaan yyang bergantung kepada pertimbangan dan budi bicara ketua jabatan untuk membenarkan mereka yang di bawah tanggungjawabnya untuk bercuti berdasarkan peraturan yang ada.

IMG 0210

Beliau turut memperingatkan para pentadbir terhadap peraturan membuat kerja luar dalam waktu pejabat yang  memerlukan  permohonan rasmi dibuat, wujudnya isu pemalsuan cuti sakit dan beberapa isu lain yang ada.

“Saya juga ingin menasihatkan para pegawai agar jika tidak berpuas hati dengan sesuatu dapat membuat aduan menggunakan saluran yang betul apatah lagi USM mempunyai pejabat Ombudsman yang menguruskan aduan rasmi yang dibuat dengan mempunyai pengurusan sistem yang baik, namun semua aduan yang dibuat akan disiasat dengan sewajarnya dan terdapat aduan yang tidak berasas walaupun pengadu membuat laporan ke peringkat pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” jelas Khairul Anuar.

Penasihat Undang-undang itu juga mengingatkan para pentadbir terhadap kepentingan integriti dalam perkhidmatan termasuk isu-isu yang berkaitan pegangan agama yang berteraskan halal dan tidak halal. - Teks: Mohamad bin Abdullah / Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1514

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024