USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JADIKAN P. RAMLEE WARISAN NEGARA

IMG 0036ghd

PULAU PINANG, 22 Mac 2015 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini menyarankan agar Tan Sri Dato’ Amar P. Ramlee dijadikan satu warisan negara yang boleh djadikan contoh dan ikutan dalam pemikiran dan karyanya selama-lamanya di negara ini.

Berucap menyampaikan Ucap Utama dalam Seminar Sempena Ulang Tahun Kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee beliau turut menyifatkan P.Ramlee sebagai seorang seniman dan negarawan yang telah mencapai pengiktirafan besar pada usia mudanya.

Seminar ini dianjurkan oleh Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang, Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) USM dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Jabatan Arkib Negara dan Think City Sd. Bhd.

Tambah Omar lagi, sudah sampai masanya seniman agung tersebut dinobatkan sebagai warisan negara sebagai ikon yang boleh dicontohi dengan mendokumentasikan karya-karyanya, mentranskripsi setiap skrip filemnya dalam bentuk asal dan memastikan uaha berterusan dilakukan dalam memelihara karya-karyanya terasuk dengan memanfaatkan teknologi yang ada.Tabahnya lagi, P. Ramlee adalah negarawan ulung kerana karyanya merentasi bidang politik dan perpaduan melalui kurikulum universiti kehidupannya dalam karya-karya yang dihasilkan pada usia yang muda.

IMG 0043

“Kita perlu mengkaji dan meneliti perkembangan zaman produktif seniman agung ini kerana kita tahun mealui kajian neurosains yang produktiviti seseorang yang berbakat bermula ketika zaman muda yang perlu dibina dan dipupuk seawal mungkin seperti P. Ramlee yang dikembangkan pada usia yang muda yang memberikan impak yang sangat besar kepada pengembangan bakat.”kata Omar.

Katanya lagi, nilai yang ada pada ikon negara ini adalah warisan negara seperti yang terdapat dalam karya-karya besar beliau, malah juga “body language” atau bahasa badannya yang menjadi elemen komunikasi yang sangat berkesan.

Sementara itu, dalam ucapannya, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dato’ Hj. Ab. Ghaffar bin A. Tambi berkata, setelah lebih 40 tahun meninggalkan kita beliau tetap hidup melalui karya-karya agungnya yang berpijak di bumi sendiri dan di nusantara yang secara jelasnya dterima oleh pelbagai kaum.

IMG 0064gh

“Karya-karyanya meninggalkan kesan besar melalui falsafah yang ditonjolkan sebagai satu realiti dengan kemampuan berfikir beliau mampu membantu pembangunan negara untuk lebih maju jika falsafah yang diterapkan dalam kalangan rakyat dan masyarakat,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh oleh Timbalan Pengarah Kebudayaan Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan. Haji Mesran Mohd. Yusop.

Sementara itu, Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang, Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Yussof Latiff berkata P. Ramlee wajar dinobatkan sebagai ikon perpaduan Malaysia dan Antarabanga berdasarkan karya-karyanya.

“Kita perlu memelihara keharmonian kaum untuk Malaysia bergerak ke hadapan dengan berkesan yang banyak tercalar disebabkan oleh politik yang dangkal yang menyebabkan pelbagai perkara berlaku sehingga menjadikan perpaduan antara kaum makin goyah yang jika tidak dibetulkan akan menjadi padah kepada negara, apatah lag perpaduan dianggap sebagai seni propaganda murahan”kata Mohd. Yussof.

Tambahnya lagi, memandangkan P.Ramlee diterima semua kaum di negara ini, beliau adalah tokoh mampu dinobatlan sebagai ikon perpaduan kerana beliau mendidik secara berhemah dan berjaya melaksanakannya dengan baik tanpa menjadikannya sebagai propaganda, malah seorang seniman sebagai agen untuk perubahan yang menyumbang dengan cara sendiri.

“Tan Sri P. Ramlee telah menggunakan bakatnya untuk berbakti kepada negara dengan menyuntik unsur perpaduan kaum melalui filem dan nyanyiannya dengan terdapat kaum-kaum lain dalam filem-filemnya, lagu-lagunya mempunyai elemen pelbagai kaum yang menyemai bibit perpaduan kaum yang lahir di Pulau Pinang sebagai seorang seniman agung yang sentiasa dikenang dengan umbangan beliau boleh menjadi tanda aras untuk perpaduan kaum di Malaysia,” kata Mohd. Yussof.

Tegas beliau lagi, usaha menobatkan P. Ramlee sebagai ikon perpaduan tempatan dan antarabangsa perlu dilakukan dan direalisasikan sebagai ikon yang tepat untuk masa lalu, masa kini dan masa hadapan. - Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md Isa & Zamani Abdul Rahim


  • Created on .
  • Hits: 1749

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024