USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JERRY YACOB DINOBAT PENARI TERBAIK LELAKI MALAM CITRABAYU 2015

 DSC3793

PULAU PINANG, 21 Mac 2015 - Pelajar dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) Universiti Sains Malaysia (USM), Jerry Yacob dinobatkan sebagai pemenang penari terbaik bagi kategori lelaki Malam Citrabayu 2015, acara agung tahunan yang dikendalikan oleh Perkumpulan Siswa Siswi Sabah (PERSIS) Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Persatuan Siswazah Sabah di Semenanjung (G3S).

Ini merupakan tahun yang kelapan pertandingan ini berlangsung dengan tema “Tari Bayu Mercu Tradisi”, mengangkat dan memartabatkan budaya unik kaum-kaum etnik dari negeri di bawah bayu menerusi persembahan tarian malam tadi.

 DSC3809

 DSC3817

Jerry tidak menyangka kemenangan akan berpihak kepadanya kerana saingan yang cukup sengit dalam kalangan peserta malam ini.

“Saya sangat gembira kerana berjaya mengharumkan nama USM dan hanya berlatih selama seminggu sebelum Malam Citrabayu berlangsung dan besarlah harapan agar dapat bersama-sama melestarikan budaya masyarakat Sabah ini pada masa hadapan,” kata penari Adikarma USM ini lagi.

Penari wanita terbaik pula dimenangi oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Sitti Amisah Binti Sairi. 

 DSC3825

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dinobatkan sebagai juara Malam Citrabayu 2015, membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,200 dan piala iringan.

Langkah dan gerak tari persembahan yang lincah serta bertenaga selain penceritaan tarian unik merupakan antara kelebihan yang berjaya memikat para juri sekaligus mendahului lapan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain dengan markah keseluruhan sebanyak 98.0 peratus.

 DSC3848

 DSC3855

Tempat kedua pula disandang oleh pasukan dari Universiti Malaya (UM) yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM800 dan piala iringan.

Tempat ketiga menjadi milik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan hadiah berupa RM 500 dan juga piala iringan.

Perpaduan yang diterjemahkan dalam Malam Citrabayu ini, menunjukkan bahawa di mana sahaja kita berada, dengan menonjolkan beberapa ramuan kejayaan masyarakat Sabah memberi contoh terbaik bagaimana masyarakat majmuk dapat hidup bersama dengan tingkat hormat-menghormati yang amat tinggi.

 DSC3930

Berucap merasmikan acara ini, Pengarah Pembangunan Pelajar (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (HEPP) USM, Dr. Nazaruddin Zainun menegaskan bahawa Malam Citrabayu bukan semata-mata mencari pemenang kepada pertandingan yang diadakan sebaliknya mempunyai hasrat dan cita-cita besar dan murni untuk mengetengahkan kehebatan para peserta yang menampilkan kreativiti dan inovasi mereka yang tersendiri.

"Tanpa mengenal jemu dan penat serta tanpa menghiraukan kritikan rakan dan lawan, para peserta dari kesemua pasukan atau institusi pengajian tinggi (IPT) yang terlibat naik ke pentas dengan langkah kemenangan mewakili masyarakat Sabah keseluruhannya.

Malam Citrabayu juga sebenarnya merupakan satu penganjuran pertandingan yang bertujuan untuk memelihara kelestarian budaya dari negeri Sabah yang mempamerkan keunikan identiti pelbagai etnik,” kata Nazarudin.

 DSC3995

Pengarah Projek, Manuel Gaklim pula berkata, Malam Citrabayu 2015 bukan sahaja dapat mengetengahkan budaya unik para kaum di negeri Sabah, malah semangat kekitaan dan perpaduan dalam golongan masyarakat Sabah juga dapat diperkukuhkan, selain menggalakkan siswa-siswi Sabah agar menghayati keindahan budaya yang diwarisi secara turun-temurun.

“Kurangnya penghayatan tersebut akan membawa kepada kepupusan budaya yang akan menjurus kepada kehilangan identiti etnik,” katanya lagi.

Para penonton turut dihiburkan dengan persembahan selingan daripada artis jemputan Faizul Sani, juara Akademi Fantasia (AF) 2013.

 DSC4002

Anugerah lain yang dipertandingkan ialah kategori koreografer terbaik yang dimenangi oleh UM, manakala bagi kategori kostum terbaik dimenangi oleh UKM.

Hadir sama ialah Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan isteri, Datin Noraizan Jamaludin; Penasihat Persatuan Siswazah Sabah di Semenanjung (G3S), Haji Yamani Hafez Musa; Presiden Persatuan Siswazah Sabah di Semenanjung (G3S) AK Ashaari Ak Yussof; Penasihat Perkumpulan Siswa-Siswi Sabah (PERSIS) USM, Andy Siti Nurhidayah Rahim; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPP USM) Mohd. Syafiq Kamarudin; Yang Dipertua Perkumpulan Siswa-Siswi Sabah (PERSIS) USM, Chong Soon Seng; Pengarah Projek Malam Citrabayu 2015, Manuel Gaklim; pegawai-pegawai utama USM serta para pelajar universiti lain. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah/Suntingan: Mohamad Bin Abdullah/Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1767

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024