USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENASIHAT UNDANG-UNDANG USM WAKIL TUNGGAL MALAYSIA DI IIEP

Passport pic

Penasihat Undang-Undang Universiti, Khairul Anuar Che Azmi yang juga Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Universiti Sains Malaysia (USM) mengharumkan nama universiti dan negara apabila menjadi wakil tunggal negara ini yang dijemput oleh Institut Perancangan Pendidikan Antarabangsa atau International Institute for Educational Planning (IIEP), satu institut di bawah naungan UNESCO yang berpangkalan di Paris untuk membentang kertas kerja di sana bagi berkongsi pengalaman dan kepakaran beliau.

Khairul Anuar menjadi salah seorang panel membentangkan kertas kerja bertajuk “Anti-Corruption Units at University Level - How Effective Are They”.  

Beliau  dijemput IIEP mewakili universiti dari Malaysia.  

Menurut Khairul Anuar, pada sesi tersebut, beliau menjadi panel bersama  Naib Canselor dari University of Nairobi  berkongsi pengalaman fungsi dan peranan Unit Integriti di USM, program CeIO, Ombudsman dan Pelan Integriti USM bersama-sama dengan para peserta dari pelbagai negara Eropah, Amerika Syarikat dan organisasi antarabangsa termasuk Transparency International. 

"Saya bersyukur dan berbangga kerana diberi kesempatan dan penghormatan ini apatah lagi membawa nama universiti dan negara dalam forum penting dunia ini," kata Khairul Anuar.

Forum antarabangsa berkenaan dasar Perancangan Integriti Bagi Pendidikan Tinggi (Planning Higher Education Integrity) tersebut diadakan pada 18 hingga 20 Mac 2015 di Paris, Perancis.

Dalam forum tersebut, para peserta berkongsi pandangan terhadap pengurusan risiko integriti di peringkat pendidikan tinggi negara/organisasi masing-masing yang membincangkan cabaran semasa dan masa depan serta menilai keupayaan mekanisme pemantauan dan pengalaman dari negara-negara jemputan bagi berkongsi pengetahuan mengenai inisiatif baru dan inovatif yang bertujuan untuk meningkatkan etika, integriti dan mengurangkan peluang untuk penipuan atau rasuah di peringkat pendidikan tinggi.

"Para peserta turut memberikan input dan pengalaman mereka terutamanya pelaksanaan strategi yang mencukupi untuk mencegah, mengesan, dan mengurangkan risiko rasuah," tambah Khairul Anuar.

Mereka terdiri daripada para pegawai  peringkat tertinggi,  pembuat keputusan dan pentadbir yang bertanggungjawab bagi pendidikan tinggi, Rektor dan Naib Canselor universiti dan kakitangan akademik yang terlibat dalam inisiatif integriti, ahli-ahli audit, jaminan kualiti, dan badan-badan akreditasi dan wakil-wakil daripada pergerakan belia dan pertubuhan sivil-masyarakat yang aktif dalam perkara integriti.

Forum oleh IIEP ini bertujuan menggalakkan amalan terbaik bagi perancangan integriti di peringkat pendidikan tinggi dunia. - Teks: Mohamad Abdullah

#PusatMediaUSM

  • Created on .
  • Hits: 1547

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024