USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MANTAN PENDAFTAR YANG DIPERTUA KELAB JASA BUDI USM

IMG 0072

PULAU PINANG, 20 Mac 2015 - Mantan Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM), Dato' Azman Abdullah dipilih sebulat suara sebagai Yang Dipertua Kelab Jasa Budi USM 2015-2017 dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-6 hari ini.

Beliau merupakan Pendaftar ke-6 USM dari tahun 2005 hingga 2010.

IMG 0075

Berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan tersebut, Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman turut melahirkan rasa sukacita beliau terhadap kemajuan kelab tersebut yang merupakan satu-satunya kelab pesara yang diwujudkan di universiti tempatan.

"Perjalanan Kelab Jasa Budi amatlah membanggakan walaupun hanya 435 ahli di Kampus Induk dan 53 orang ahli di Kampus Kesihatan, dengan kejayaan mengadakan aktiviti-aktiviti yang dijalankan amatlah membanggakan saya hasil usaha gigih dan kerjasama yang tak berbelah bagi semua pihak," kata Omar.

IMG 0081gh

Universiti memberikan peruntukan tahunan sebanyak RM10,000 untuk membantu melaksanakan program-program yang boleh memberi manfaat kepada semua pesara amnya dan para ahli Kelab khasnya.

"Saya juga berharap Jawatankuasa baru yang dipilih oleh semua ahli akan mencemerlangkan dan mengembangkan Kelab Jasa Budi USM, lebih dikenali ramai dan seterusnya diharapkan mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam demi kebaikan dan kesejahteraan ahli-ahlinya," tambahnya lagi.

Mesyuarat Agung Kelab Jasa Budi USM dipengerusikan oleh Yang Dipertua Kelab Jasa Budi 2013-2015, Profesor Emeritus Dato' Dr. Amir Awang dengan pembentangan Minit Mesyuarat Agung Ke-5 (2014) dan Laporan Aktiviti Tahunan sepanjang tahun 2014.

IMG 0091k

Beberapa cadangan dari ahli telah dicatat untuk memperkemaskan lagi struktur kelab tersebut.

Dalam ucapan penangguhan, Azman menzahirkan rasa sukacitanya dilantik sebagai Yang Dipertua Kelab Jasa Budi yang baharu serta berikrar akan menggalas tanggungjawab tersebut dengan sebaik mungkin.

IMG 0108j

IMG 0114

"Walaupun masing-masing mempunyai komitmen terhadap keluarga lebih-lebih lagi setelah meninggalkan dunia pekerjaan, namun semangat ukhuwah yang ditonjolkan para ahli terutamanya pada setiap perjumpaan memperlihatkan kesungguhan ahli terhadap kelab ini, dan ini membangkitkan perasaan teruja saya untuk terus berbakti kepada kelab selagi mampu," kata Azman lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Profesor Emeritus Dato' Dr. Amir Awang yang menerajui Kelab Jasa Budi sejak ditubuhkan dan meletakkan asas yang kuat kepada pengurusan Kelab Jasa Budi.

IMG 0118jh

IMG 0123

Mesyuarat ini dihadiri oleh kira-kira 60 orang ahli Kelab Jasa Budi USM termasuklah 3 orang ahli bersekutu.

Kelab Jasa Budi USM adalah ilham daripada pengurusan tertinggi universiti yang pada mulanya dikendalikan oleh sebuah Jawatankuasa Penaja yang dilantik oleh bakal-bakal pesara semasa Bengkel Persediaan Bakal Pesara pada tahun 2003.

IMG 0135

IMG 0138

Jawatankuasa Penaja Kelab ini telah mengadakan Mesyuarat Agong Pertama pada bulan Ogos 2004 dan dengan rasminya dilancarkan oleh Profesor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak, mantan Naib Canselor USM. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah/Suntingan: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 2018

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024