USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERSIDANGAN PENGURUSAN BENCANA BANJIR KELANTAN CAPAI KEJAYAAN: NC RAI SEMUA YANG TERLIBAT

IMG 0044jb

PULAU PINANG, 20 Mac 2015 - Persidangan Pengurusan Bencana Banjir Kelantan 2015 yang telah diadakan di Kelantan baru-baru ini mencapai kejayaan yang diharapkan melalui kerjasama pelbagai pihak.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman hari ini menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan usaha ini.

IMG 0064uh

"Banjir yang melanda Kelantan pada Disember 2014 lalu telah meninggalkan kesan yang besar kepada penduduk terutamanya kemusnahan harta benda, pertanian, penternakan, kemudahan infrastruktur seperti jalanraya, jalan keretapi, bekalan elektrik, telefon dan kekurangan bekalan asas seperti makanan dan air bersih seterusnya menjejaskan kesihatan setiap individu yang terlibat sama ada dari segi mental atau fizikal.

Persidangan yang dianjurkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) dan Pejabat Setiausaha Negeri Kelantan (SUK) berjaya mengumpul pandangan, maklumat dan data yang dijadikan resolusi untuk bersama-sama berusaha melakukan penambahbaikan dalam menghadapi bencana di negara ini pada masa hadapan,” kata Omar.

IMG 0055g

Persidangan tersebut telah berjaya mengumpulkan kira-kira 500 orang peserta dari pelbagai agensi termasuk mangsa banjir, ahli-ahli akademik, pertubuhan sukarela dan pelbagai agensi yang terlibat dalam melalui menggunakan kaedah “townhall meeting”.

Majlis penghargaan yang sama dijangka diadakan di Kelantan dalam sedikit masa lagi.

IMG 0059

"Adalah diharapkan bahawa cadangan resolusi ini dapat membantu semua pihak yang terlibat terutama dalam pengurusan bencana agar sentiasa bersedia dan bertindak balas secara efektif terhadap bencana bagi mengurangkan kesan bencana sekiranya bencana banjir yang sama berulang seterusnya membawa kepada pembangunan pasca banjir yang lestari," ujar Omar lagi.Naib Canselor juga menegaskan bahawa sokongan daripada pihak media terhadap USM dalam apa jua program yang dianjurkan membuktikan kredibiliti dan kesungguhan universiti dalam memacu kecemerlangan diiktiraf semua pihak.

Persidangan Pengurusan Bencana Banjir Kelantan 2015 yang telah diadakan baru-baru ini telah menghasilkan sejumlah 225 cadangan penyelesaian melalui resolusi yang menggariskan pelbagai cadangan yang boleh dilaksanakan oleh semua pihak yang berkepentingan termasuk kerajaan persekutuan dan negeri, agensi-agensi, badan bukan kerajaan, pusat pendidikan dan pusat penyelidikan bagi mengurangkan kesan bencana banjir.

IMG 0057

IMG 0066

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) Profesor Dr. Kamarulazizi Ibrahim, Pemangku Bendahari, Dr. Rohayati Mohd. Isa, Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, para pensyarah serta pihak-pihak yang terlibat dalam Persidangan Pengurusan Bencana Banjir Kelantan 2015. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah

  • Created on .
  • Hits: 1591

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024