USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INDUSTRI TAGIH GRADUAN SERBA BOLEH

IMG 0353

PULAU PINANG, 18 Mac 2015 - Rata-rata rakan industri baik di peringkat tempatan mahupun global memerlukan graduan serba boleh yang mampu memberi sumbangan signifikan kepada organisasi.

IMG 0109

Naib Presiden Kanan Pengeluaran dan Kejuruteraan Robert Bosch (BOSCH), Lothar Mergili berkata, graduan perlu memiliki bakat luar biasa yang membolehkan mereka mengadaptasi perkara baru dengan cepat.

Katanya, berdasarkan pengalaman BOSCH kebanyakan graduan dilihat agak mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja dan menyumbang kepada majikan.

IMG 0343

 

"Graduan perlu dicabar untuk melakukan perkara-perkara baru bagi membolehkan mereka bertindak balas dengan cepat dan berupaya menyelesaikan masalah dengan bijak.

"Kita juga perlu mengasah bakat mereka dari peringkat awal untuk mereka menjadi lebih berkeyakinan, serba-boleh dan bersifat terbuka," katanya.

Pengurus Hal Ehwal Am dan Sumber Manusia Daikin, Chong Pui Theng pula berkata, keputusan cemerlang bukan tiket utama untuk graduan berjaya dalam bidang kerjaya sebaliknya kemampuan berkomunikasi dengan baik dan berketrampilan adalah satu kelebihan jika dapat dikuasai.

"Daikin mempunyai pelbagai latar belakang bidang kerja dan tidak semua memerlukan keputusan peperiksaan yang cemerlang namun lebih kepada melihat kemahiran insaniah.

IMG 0359

 

"Justeru masih ada ruang untuk para graduan mencari kelebihan masing-masing dan serlahkannya bagi mencapai kecemerlangan dalam kerjaya," katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr Omar Osman pula berkata, USM sentiasa komited untuk melatih dan melahirkan graduan serba boleh melalui kolaborasi kukuh dengan pihak industri.

IMG 0347fh

"Kita prihatin dan sentiasa mengadakan perbincangan dua hala dengan pihak industri bagi mendapatkan maklumat-maklumat terkini untuk meningkatkan kualiti dan kebolehpasaran graduan," katanya.

Pun begitu katanya, melahirkan graduan serba boleh bukanlah satu perkara mudah dan pembudayaan sahsiah dan ketrampilan yang serba boleh perlu diasuh dari peringkat awal.

IMG 0370fgh

Beliau berkata demikian dalam sesi khas perbincangan dua hala dengan pihak industri sempena Career Fair 2015 di Kampus Kejuruteraan di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, TNC Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ See Ching Mey, TNC Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Profesor Dr. Adnan Hussein serta Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Ariffin Mohd. Ishak. - Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1450

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024