PENYELIDIK USM BANGUNKAN APLIKASI PENJEJAK LOKASI JEMAAH TERSESAT DI TANAH SUCI
PULAU PINANG, 7 April 2016 – Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan inovasi yang berupaya membantu mengatasi masalah jemaah haji tersesat melalui aplikasi yang dipanggil Sistem Penjejak Lokasi Jemaah Tersesat di Tanah Suci.
Ketua Penyelidik yang juga pensyarah Pusat Pengajian Sains Komputer USM, Prof Madya Muhammad Rafie Mohd Arshad berkata, sistem berasaskan pengoperasi android itu amat mudah digunakan dan amat sesuai untuk digunapakai oleh pengendali jemaah haji dan umrah.
Katanya, sistem penjejakan itu beroperasi dengan hanya memerlukan tablet dan telefon pintar serta penggunaan teknologi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sistem penentu kedudukan global (GPS).
“Tablet akan bertindak sebagai Pelayan-Pusat Kawalan yang mengendalikan penerimaan SMS kecemasan (SOS SMS) bagi mendapatkan bantuan dari jemaah yang mendaftarkan nombor mereka dalam sistem.
“Tablet pelayan juga akan mengendalikan pengagihan tugas penjejakan lokasi jemaah kepada para petugas yang berada di lapangan yang mana petugas ini akan menyemak kedudukan GPS pada peta dan terus memberikan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual bagi memperincikan produknya yang dipamerkan bersempena Persidangan Haji Serantau 2016 yang disertai kira-kira 130 peserta dari beberapa negara antaranya Arab Saudi, Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura dan Kemboja.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki hadir merasmikan seminar berkenaan yang menjadi platform menghimpunkan kepakaran dan ilmuan bagi menjana idea baru untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan haji.
Diskusi sempena persidangan antara lain melihat amalan terbaik yang boleh dikongsi bagi mengurangkan permasalahan yang berlaku ketika musim Haji khususnya dari segi kesihatan dan kepesatan jemaah Haji.
Hadir sama ke persidangan itu ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei, Dr. Norarfan Zainal dan wakil-wakil dari kementerian dari dalam dan luar negara.
Selain USM, universiti lain yang terlibat dalam projek Kluster Penyelidikan Haji itu ialah Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Menurut Muhammad Rafie lagi, aplikasi tersebut adalah inovasi terkini kerana sebelum ini beliau dan pasukannya telah membangunkan beberapa sistem lain yang dapat membantu mempermudahkan urusan haji dan umrah para jemaah.
Antara yang telah dibangunkan termasuk Aplikasi Mudah Alih Panduan Umrah atau M-Umrah, Jelajah Maya Madinah, Penjejak Lokasi, Mekah dan Sistem Penjejak Lokasi Mekah GPS.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut mengakui aplikasi yang dibangunkan amat signifikan dan sangat membantu dalam urusan pengendalian jemaah haji dan umrah, termasuk M-Umrah yang boleh dimuat turun secara percuma oleh pengguna.
Beliau berkata aplikasi yang dibangunkan penyelidik USM menerusi geran Kluster Penyelidikan Haji sebanyak RM9 juta itu juga mampu mengintegrasikan maklumat dan teknologi semasa serta menyediakan maklumat persekitaran kepada jemaah.
Tambahnya, usaha itu bagi membantu mempermudahkan ibadat jemaah haji dan umrah terutama dalam kalangan mereka yang pertama kali mengerjakan ibadat tersebut.
“Dengan aplikasi M-Umrah misalnya, para jemaah boleh mendapatkan panduan mengenai cara-cara mengerjakan ibadat umrah daripada persediaan di tanah air sehingga selesai.
"Semua aplikasi itu juga dibangunkan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris secara percuma serta versi pro yang berbayar termasuk dalam bahasa Indonesia," katanya.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1453