USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ASIA TENGGARA LUBUK KAJIAN GENOMIK MANUSIA

DSC 0034

KUALA LUMPUR, 17 Mac 2015 - Asia Tenggara khususnya Semenanjung Malaysia disifatkan oleh saintis sebagai lubuk emas untuk menjalankan kajian genomik manusia ekoran kepelbagaian dalam kalangan masyarakat berbilang kaumnya.

Profesor dalam bidang Genetik Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Zilfalil Alwi berkata, kepelbagaian etnik termasuk masyarakat berbangsa Melayu, Cina, India serta masyarakat Sabah dan Sarawak membuka peluang untuk saintis mendalami kajian berkaitan genomik manusia dengan lebih meluas.

Katanya, rakyat Malaysia sangat menarik dan mempunyai diversiti dari segi biologi yang menjanjikan sumber penyelidikan menarik kepada para saintis, selain melihat potensi genom manusia dalam memberi manfaat kepada bidang penjagaan kesihatan.

DSC 0085

“Kajian genomik manusia amat penting dan signifikan khususnya dalam membantu saintis memahami bagaimana diversiti yang wujud dalam setiap individu boleh digunakan dalam menambah baik aspek perubatan dan kesihatan.

“Kajian genomik ini juga tidak terhad kepada manusia malah ia turut boleh dijalankan terhadap tumbuh-tumbuhan, biodiversiti, bioekonomi dan sebagainya,’’ katanya dalam sidang media sejurus perasmian Human Genome Meeting 2015 (HGM) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

DSC 0009

Asas itu diperkukuhkan oleh Presiden Human Genome Organization (HUGO), Profesor Stylianos Antonarakis yang menyifatkan perbezaan di antara satu individu dengan individu lain menjadikan spesis manusia sangat unik dan anugerah yang tiada tolok bandingnya.

Katanya, diversiti sangat penting untuk evolusi manusia dan melaluinya juga saintis boleh membaca dan mengkaji genom dalam setiap diri manusia baik di Amerika, Eropah, Asia dan sebagainya.

DSC 0083

“Kajian genomik membolehkan kita tahu siapa diri kita, bagaimana kita membesar, apakah kelebihan kita, malah boleh juga diketahui jika kita berisiko untuk mendapat apa jua gangguan atau penyakit yang diwarisi baik di peringkat kanak-kanak atau dewasa kelak.

“Perkara ini jika 50 tahun dahulu mungkin tiada siapa yang tahu, malah perkataan genom, iaitu molekul  yang ada dalam setiap diri kita pun menjadi begitu asing didengar,’’ ujar beliau.

Tambahnya, antara manfaat kajian genomik atau dalam istilah biasanya keseluruhan DNA yang ada dalam diri manusia membolehkan saintis dan pengamal perubatan menambahbaik perkhidmatan bidang perubatan dan kesihatan.

DSC 0029

“Objektif HUGO pada masa ini adalah untuk meneroka potensi dan menjalankan penyelidikan genomik terhadap genetik perubatan atau turut dikenali sebagai personalised medicine serta precision medicine.

“Apa jua namanya, tujuan utamanya untuk menambahbaik tahap kesihatan manusia dengan memberi perkhidmatan perubatan setelah mengetahui keupayaan yang ada dalam diri kita yang sememangnya sangat unik dan menakjubkan,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, persidangan yang bertemakan Transforming Human Genomics for A Sustainable Tomorrow itu dianjurkan oleh Human Genome Organization (HUGO) dengan kerjasama USM, Persatuan Genetik Manusia Malaysia (MSHG), Persatuan Genetik Perubatan Malaysia (MGSOM) dan Projek Variom Manusia Nod Malaysia (MyHVP) serta Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB).

DSC 0076

HGM menjadi platform diskusi berasaskan kedinamikan saintifik dalam pembentukan agenda masa depan terhadap genetik manusia ke arah peningkatan kesejahteraan manusia sejagat. - Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 2011

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024