USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KAJIAN GENETIK BERI MANFAAT PADA MANUSIA

DSC 0037

KUALA LUMPUR, 15 Mac 2015 – Penyelidikan dalam bidang genetik manusia disifatkan sangat signifikan khususnya jika mengambil kira sumbangannya memberi nilai tambah dalam aspek perubatan dan kesihatan.

Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Zakri Abdul Hamid berkata, kajian genomik akan mendedahkan variasi genetik yang menjadikan setiap dari manusia itu unik dalam gennya tersendiri.

DSC 0044

Hal itu katanya dapat memberi pemahaman yang lebih terperinci untuk para saintis mengetahui variasi genetik yang manakah dalam diri seseorang yang boleh membawa kepada gangguan, penyakit dan sebagainya.

``Ia sekaligus menyediakan satu kaedah rawatan atau perubatan yang lebih baik yang menjurus kepada kesesuaiannya terhadap seseorang dan perkara ini memang sedang hangat dibincangkan dalam kalangan kelompok santifik global,’’ katanya.

DSC 0052ghf

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Human Genome Meeting (HGM) 2015 kali ke-18 yang julung kalinya diadakan di Malaysia, di sini semalam.

Beliau menambah, sehingga kini perkembangan kajian bidang genomik semakin meluas di negara ini dan saintis tempatan wajar menjadikan HGM sebagai platform untuk mereka menempatkan diri dalam kelompok saintifik global.

``Ini adalah medium paling penting untuk saintis negara mengembangkan penemuan dalam kalangan saintis dunia. Mereka berpeluang mengenengahkan hasil penyelidikan dan mengukuhkan jaringan dengan pakar-pakar genomik global,’’ ujarnya.

DSC 0090

Terdahulu wakil Naib Canselor  merangkap Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan merasmikan persidangan yang menghimpunkan lebih 400 peserta dari seluruh dunia itu.

Muhamad pula berkata, genetik menjadi satu bidang yang sedang berkembang pesat dan memberi impak dalam setiap aspek kehidupan termasuk agrikultur, perubatan, bioteknologi dan sebagainya.

``Teknologi genetik juga telah menyumbang dalam menemukan pelbagai keperluan fundemental dan ia turut menjanjikan peluang untuk penemuan lebih besar demi kesejahteraan manusia.

``Kepentingan bidang ini turut dibuktikan dengan fakta yang mana universiti, institusi penyelidikan dan sektor swasta bekerjasama memastikan infrastruktur yang diberikan menghasilkan output yang boleh diukur,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, persidangan yang bertemakan Transforming Human Genomics for A Sustainable Tomorrow itu dianjurkan oleh Human Genome Organization (HUGO) dengan kerjasama USM, Persatuan Genetik Manusia Malaysia (MSHG), Persatuan Genetik Perubatan Malaysia (MGSOM) dan Projek Variom Manusia Nod Malaysia (MyHVP) serta Malaysia Convention & Exhibition Bureau.

HGM menjadi platform diskusi berasaskan kedinamikan saintifik dalam pembentukan agenda masa depan terhadap genetik manusia ke arah peningkatan kesejahteraan manusia sejagat.

Turut hadir pada persidangan tersebut ialah Presiden HUGO, Profesor Stylianos Antonarakis dan Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Tempatan merangkap Pensyarah USM, Profesor Dr. Zilfalil Alwi. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Nor Rafizah Md Zain 

  • Created on .
  • Hits: 4143

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024