USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERTINGKAT HUBUNGAN STRATEGIK DENGAN UNIVERSITI ISLAM MADINAH

IMG 20150308 WA0021

PULAU PINANG, 11 Mac 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh kerjasama dengan Universiti Islam Madinah (UIM) bagi membantu universiti berkenaan menubuhkan kerangka penawaran program kontemporari terutamanya sains dan kejuruteraan.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, perbincangan dua hala dengan Rektor UIM, Professor Abdulrahman bin Abdullah Al-Sanad membuka peluang kepada USM menyumbang dalam membantu UIM menawarkan ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana sains, selain beberapa program lain yang dilihat signifikan dengan perkembangan semasa.

Katanya, USM dilihat dari kekuatannya dalam menawarkan program-program sains di pelbagai peringkat dan telah diberi pengiktirafan untuk membantu berkongsi kepakaran yang ada dengan UIM.

IMG 20150308 WA0024

“Kita turut melihat bagaimana USM dan UIM boleh berkolaborasi dalam bidang-bidang akademik di peringkat antarabangsa yang boleh dijadikan tanda aras untuk memastikan program yang ditawarkan setanding dengan kualiti global.

“UIM ingin berkongsi pengalaman USM dan melihat bagaimana kejayaan kita menubuhkan program ijazah berkembar di peringkat sarjana, selain keupayaan USM menjalin hubungan penyelidikan yang kukuh dengan institusi-institusi terkemuka dari seluruh dunia,’’ ujar beliau.

Omar baru-baru ini diberi penghormatan dan dijemput khas sebagai satu-satunya Naib Canselor dari negara ini menyertai persidangan ilmiah ‘Pengukuran Prestasi & Perlaksanaan Indeks Pengukuran Prestasi (KPI) serta Peranannya Dalam Mempertingkatkan Kualiti Universiti-universiti Dunia Arab.

IMG 20150308 WA0022

Persidangan yang membincangkan aspek kualiti program-program akademik dan pendidikan itu adalah anjuran bersama UIM, Universiti Taibah Madinah dan mendapat kerjasama penuh dari Kesatuan Universiti Negara Arab.

Dalam pada itu, dalam kerangka lawatan kerja tersebut Omar turut berkesempatan menjadi tetamu kepada Datuk Bandar Mekah, Dr. Osama Fadhel Al-Bar seiring mengadakan beberapa perbincangan khusus untuk mengukuhkan kolaborasi sedia ada.

“Saya sempat membincangkan bagaimana USM dapat terus memberi input dalam kerjasama yang telah dibuat, antaranya dalam kajian-kajian berkenaan sistem di peringkat kejuruteraan awam  dan pengurusan sisa di Mekah.

“Kita juga telah mengemukakan cadangan untuk menganjurkan satu persidangan antarabangsa secara bersama bagi mengkaji bagaimana bandaraya Mekah ini boleh ditadbir dan diuruskan secara lestari.

IMG 20150308 WA0023

“Cadangan ini telah disampaikan untuk penelitian lanjut pihak Datuk Bandar Mekah dan jika ia berjaya direalisasikan akan menjadi satu lagi tanda aras keutuhan Mekah dan Madinah dalam menerima kunjungan berjuta-juta manusia saban tahun,’’ ujar beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, USM memberi cadangan untuk menganjurkan International Conference On Al Makkah: Responsible Pilgrimage and Stewardship Towards the City’s Sustainability yang bermatlamat untuk memberi idea inovatif dalam meningkatkan pembangunan lestari di Mekah.

“Sebenarnya Mekah boleh digunakan sebagai satu model untuk melihat bagaimana pelawat, industri dan komuniti dapat saling membantu untuk memastikan sesebuah bandaraya itu boleh berasaskan kepada kelestarian,’’ katanya.

Tambah Omar, sesebuah bandar bukan sahaja boleh lestari disebabkan oleh penduduknya, malah industri dan pelawat turut memainkan peranan. Dalam konteks ini, Mekah dan Madinah boleh dijadikan contoh perbincangan kerana kedua-dua bandaraya ini dikunjungi jutaan manusia setiap hari.

“Keupayaan menguruskan bandaraya yang dibanjiri pengunjung ini juga adalah satu perkara yang boleh kita kongsi dan pelajari, selain turut memberi kebanggaan kepada pengurus dan pengurusan bandaraya Mekah, Madinah dan kerajaan Arab Saudi secara keseluruhan,’’ ujarnya.

http://usmtv.usm.my/index.php/component/contushdvideoshare/player/2015/usm-pertingkat-hubungan-strategik-dengan-universiti-islam-madinah

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1899

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024