USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BANTU NEGERI KEDAH PACU TRANSFORMASI LUAR BANDAR

IMG 0051

PULAU PINANG, 10 Mac 2015 – Pemantauan perlu dilaksanakan secara berterusan terhadap pembangunan dan transformasi luar bandar supaya Program Pembangunan Kerangka Strategik 3P (Penerangan, Pembasmian Kemiskinan & Pembangunan Luar Bandar) yang dijalankan selaras dengan  agenda Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dapat bersama-sama memacu transformasi luar bandar dalam membasmi kemiskinan negara.

Demikian menurut Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan Datuk Mohd. Tajudin Abdullah, dalam sidang akhbar yang diadakan di sini semalam.

IMG 0076

"Ianya juga selaras dengan misi pihak kerajaan dalam usaha transformasi bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Kerajaan Kedah kini memberi tumpuan kepada modenisasi dan transformasi luar bandar supaya aliran wang keluar negara dapat dikurangkan serta menggalakkan pelancongan dalam negara.

"Kerajaan Negeri Kedah bertindak sebagai agen pelaksana yang menjadi penanda aras dalam melaksanakan Program Pembangunan Kerangka Strategik 3P ini di samping menghasilkan "outcome" iaitu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada semua agensi-agensi yang terlibat dalam usaha menterjemahkan usaha kerajaan menbangunkan negeri ini.

IMG 0093

"Program pembangunan negara perlu diterjemahkan kepada rakyat supaya mereka memahami aspirasi kerajaan," ujarnya lagi.

Objektif utama program ini direkabentuk bagi membangunkan kerangka 3P kerajaan negeri Kedah untuk menjayakan Pelan Transformasi Kedah 2013 – 2018 menggunakan pendekatan modul "Tadbir Urus bersepadu" (TUBE).

Dalam sidang akhbar yang sama, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, sistem yang dibina perlu dilaksanakan secara bersepadu dan bukan hanya setakat membinanya sahaja, namun perlu disusuli dengan pembinaan pengukuran prestasi yang tepat serta tadbir urus yang baik.

Tambah Omar, inovasi daripada komuniti amatlah diperlukan dalam membangunkan kerangka strategik ini sebagai pemudahcara dalam melaksanakan agenda pihak kerajaan.

"USM menyokong penuh usaha berkenaan sebagai salah satu kerangka pembangunan dan khidmat komuniti USM khususnya dalam membasmi kemisikinan.

IMG 0086

"Kerjasama antara kerajaan negeri Kedah dengan USM melalui Pusat Inovasi & Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) akan dapat meningkatkan pemindahan ilmu antara universiti dan kerajaan negeri bagi memacu kecemerlangan dan memastikan kelestarian hari esok selaras dengan moto USM.

"PIPPA umumnya telah membantu negara bukan sahaja meningkatkan produktiviti pentadbiran awam malahan mengambil inisiatif menterjemah visi dan misi kerajaan Negeri Kedah berhubung program ini," katanya lagi. 

Program Pembangunan Kerangka Strategik 3P (Penerangan, Pembasmian Kemiskinan dan Pembangunan Luar Bandar) Kerajaan Negeri Kedah merupakan program anjuran bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri Kedah, Pejabat Exco Pembangunan Luar Bandar, Penerangan dan Pembasmian Kemiskinan dengan kerjasama PIPPA USM.

Dalam pada itu, peserta program selama tiga hari ini akan didedahkan dengan input-input yang berkaitan dengan pembinaan kerangka strategik dan seterusnya peserta akan membina kerangka strategik 3P kerajaan negeri Kedah bagi menjayakan Pelan Transformasi Kedah 2013 – 2018.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Mac 2015 ini, dihadiri oleh 22 orang peserta terdiri daripada ketua-ketua jabatan dari Negeri Kedah, Jabatan Penerangan, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, RISDA, FELCRA, MARA, JASA, dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Kedah.

Hadir sama ialah Pengarah PIPPA Dr. Musa Ali, wakil-wakil kerajaan Negeri Kedah serta para peserta seminar. - Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1958

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024