USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KUNJUNGAN KEDUTAAN IRAN KE USM PERKUKUH HUBUNGAN AKADEMIK

IMG 0036

PULAU PINANG, 5 Mac 2015 - Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal hari ini menerima kunjungan hormat delegasi dari kedutaan Iran di Malaysia di Bilik Persidangan Canselori USM.

Rombongan tiga orang itu diketuai oleh Duta Pendidikan dan Kebudayaan Iran, Dr. Ali Akbar Ziae bersama pegawai pengurusan Iran yang terdiri daripada Setiausaha Union of Islamic Student in East Asia En. Nori Chegini, dan Pengarah Persatuan Iran di Pulau Pinang, Pn. Monir Hosseini.

Shukri berkata, beliau amat berbesar hati menerima kunjungan ini kerana sudi datang jauh ke sini untuk menjalin kerjasama serta melawat USM.

IMG 0044

"Saya berharap melalui lawatan ini hubungan di antara universiti dan pelajar Iran di USM ini akan diperkukuhkan lagi dan lebih banyak aktiviti bersama dapat dijalankan pada masa yang akan datang," kata Shukri dalam perbincangan pada majlis perjumpaan dan sesi dialog antara kedua-dua pihak.

Perbincangan yang berlangsung lebih kurang sejam ini turut membincangkan tentang hal ehwal yang berkaitan dengan pelajar Iran dan Shukri berjanji pihak Universiti akan memberi kerjasama yang sepenuhnya jika mereka mempunyai  masalah di USM.

Dalam ucapan balas, Ali Akbar mengharapkan usahasama dan kerjasama yang terjalin akan membolehkan kedua-dua belah pihak mendapat manfaatnya.

IMG 0046

Bilangan pelajar Iran adalah antara yang terbesar dalam kalangan pelajar antarabangsa yang belajar di USM iaitu seramai 218 orang khususnya pada peringkat ijazah tinggi.

Yang hadir dalam perbincangan itu ialah Dekan Institut Pengajian Siswazah USM, Profesor Dr. Othman Sulaiman dan pegawai-pegawai utama USM. - Teks: Syuhada Abd Aziz/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1379

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024