USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMANGKU NAIB CANSELOR USM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT PESURUHJAYA TINGGI SINGAPURA

DSC 0102

PULAU PINANG, 5 Mac 2015 - Pemangku Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey telah menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura, Vanu Gopala Menon di Pejabat Naib Canselor di sini baru-baru ini.

Dalam perjumpaan selama hampir 45 minit itu, See telah memberi penerangan tentang misi, visi dan hala tuju serta pelbagai program akademik, penyelidikan dan libatsama komuniti yang giat dijalankan oleh USM sebagai universiti pertama berstatus APEX di Malaysia.

See berkata, beliau amat berbesar hati menerima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi Singapura itu kerana sudi singgah di USM dalam lawatan rasminya ke Pulau Pinang untuk berjumpa dan berkenalan dengan Naib Canselor USM.

“Saya berharap lawatan ini akan menjadi titik tolak kepada terjalinnya hubungan baik antara USM dan Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di Malaysia demi kemajuan pendidikan dan pertukaran budaya antara Malaysia dan Singapura,” kata See yang juga Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM.   

DSC 0117

Sementara itu, Menon berkata, beliau berharap hubungan yang lebih erat dapat terjalin antara USM dan universiti-universiti di Singapura seperti National University of Singapore (NUS) dan Nanyang Technological University (NUT). 

“Saya ingin melihat mahasiswa daripada kedua-dua negara jiran ini lebih saling mengenali satu sama lain, dan sebagai permulaan, ini boleh dilakukan melalui program khusus jangka pendek seperti ‘summer camp’ yang dianjur, dikendali dan disertai bersama oleh mereka.

“Saya juga berharap kerjasama akademik antarabangsa yang lebih kukuh akan terjalin di antara kedua-dua negara, dan USM sebagai salah satu universiti tertua dan terulung di Malaysia boleh menjadi rakan strategik Singapura dalam merealisasikan inisiatif ini,” kata Menon yang baru dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Malaysia pada 10 November 2014.  

Hadir sama ialah Pengarah Pejabat Antarabangsa USM, Prof. Madya Dr. Anees Janee Ali dan Setiausaha Kedua Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura James Chia. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1518

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024