USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

2,000 PENGUNJUNG SERTAI JEJAK MENARA 2015

P5jh

KUBANG KERIAN, KELANTAN 28 Februari 2015 – Hampir 2,000 pengunjung dalam kalangan lepasan sekolah yang mengintai peluang untuk menyambung pengajian di menara ilmu memanfaatkan program Jejak Menara 2015 Peringkat Negeri Kelantan, di sini baru-baru ini.

Program yang bermatlamat untuk memberi pendedahan kepada kehidupan di institusi pengajian tinggi itu adalah anjuran bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), dan menjadi penganjuran kedua setelah kejayaan penganjuran sulungnya pada 2014.

P8

Program sehari yang kali kedua dianjurkan di negeri itu turut menjadi majlis pembuka tirai sebelum jejak Menara 2015 memulakan sesi jelajahnya ke universiti-universiti lain di Malaysia.

Hadir ketika menyampaikan ucaptama di majlis perasmian program tersebut, Yang Dipertua YADIM, Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memberitahu antara fokus utama program ini ialah untuk mendedahkan para peserta dengan corak kehidupan di menara gading.

P1

P3

“Di universiti, cara hidupnya cukup berbeza berbanding alam persekolahan, banyak cabarannya apatah lagi semua urusan harian tergantung di bahu kita sendiri,” katanya.

Beliau juga memberitahu program ini turut menekankan kepada pembentukan keyakinan dan kesedaran diri para peserta peri pentingnya perancangan yang betul dalam menentukan halatuju hidup seorang mahasiswa muslim demi agama dan negara.

“Ambillah peluang ini dengan sebaiknya agar saudara dan saudari kelak lebih bersedia serta tidak kekok untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus yang penuh dengan kejutannya,” jelas beliau lagi.

P6

P7

Pelbagai pengisian menarik diatur untuk sajian para peserta seperti sesi penerangan berkenaan prospektus kursus dan kerjaya yang diadakan di awal pagi oleh penceramah jemputan serta sesi perkongsian pengalaman hidup di menara gading bersama para Fasilitator Sahabat YADIM (USM).

Terdahulu menyampaikan ucapan aluan ialah Timbalan Dekan (Akademik) Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan USM. Profesor Shaiful Bahari Ismail yang mewakili Pengarah Kampus.

P10

Beliau berkata, USM akan terus memberikan kerjasama erat dengan pihak luar dalam menjayakan apa sahaja program yang berkait secara langsung dengan aspek pendidikan.

“Pintu USM sentiasa terbuka untuk sesiapa saja dan kami akan cuba membantu sedaya mungkin jika ada pihak yang memerlukan kepakaran, kerjasama, tenaga mahu pun pengalaman yang ada dalam kalangan warga kampus USM,” ujar beliau.

Tampil memeriahkan suasana program ialah Ikon Jejak Menara 2015 juga merupakan personaliti TV Al Hijrah, Fadzli Aziz dan artis nasyid Kumpulan Saujana / penyampai Radio IKIM, Suffian Amrin yang mengelolakan sesi motivasi yang dilihat berjaya menarik perhatian dan menghiburkan para peserta.

P9

Sementara itu, mengulas lanjut, Asyraf merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak USM kerana turut turun padang bersama bagi menjayakan perjalanan Program Jejak Menara 2015 yang disifatkan beliau cukup meriah dan mencapai objektif pengajurannya.

“Kami amat bersyukur dengan bantuan yang disumbangkan oleh USM dalam menyediakan logistik untuk program ini, ternyata ianya satu kerjasama yang mantap,” kata Asyraf.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Penyelia Pendidikan Kanan Bimbingan & Kaunseling Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Abdul Manaf Haji Yamat serta para pegawai utama USM dan YADIM. Teks: Mohd Rodin Che Yusoff

  • Created on .
  • Hits: 1562

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024