USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KESAMAAN WAJAR DILIHAT SECARA POSITIF

IMG 0828

PULAU PINANG, 25 Feb. 2015 – Kesamaan dan kemiripan budaya, bahasa, makanan dan sebagainya dalam kalangan masyarakat Melayu dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia wajar dilihat dari aspek positif, seiring mengimbas sejarah lampau berkaitan susur galur kewujudan bangsa Melayu itu sendiri.

Penyelaras Operasi, Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CENPRIS), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato Seri Dr. Md. Salleh Yaapar (CenPRIS) berkata, persamaan yang wujud di antara kedua negara tersebut dipengaruhi oleh beberapa faktor.

IMG 0827

Katanya, dari segi sejarah, nama Melayu sudah dikenali sejak zaman Ptolemy (90-168 CE) pada abad kedua dan pada abad ketujuh telah wujud kerajaan bernama Melayu di sekitar Jambi. Ia kemudiannya terangkum ke dalam kerajaan Srivijaya yang berpusat di Palembang & berkuasa di seluruh Kepulauan Melayu sehingga abad ke-13.

``Impak Srivijaya menyebabkan banyak penduduk menerima identiti mereka sebagai Melayu, dengan wilayah mereka pula dikenal sebagai tanah Melayu. Ini meliputi Jambi, Palembang, Minangkabau, Siak, Kampar, Rokan, Pane, Kampe, Aru, Mandaileng, Tumiang, Perlak, Samudra, Lamuri & Barus di Sumatera, bersama Langkasuka, Kedah, Kelantan, Pahang dan lain-lain di Semenanjung.

``Justeru adalah wajar jika bahasa, budaya, kraftangan, pakaian, makanan atau sebagainya mirip di antara keduanya kerana sejarah menceritakan persamaan itu wujud dan ianya datang dari rumpun yang sama namun terpisah oleh faktor perubahan geografi,’’ ujar beliau.

IMG 0846

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap utama bertajuk “The Malays: Their Origins & Migrations”  sempena Bengkel Antarabangsa Migrasi dan Kesepaduan dalam Masyarakat Multi-Enik: Imigrasi Bukan Kelaziman, Warisan Nusantara dan Tanggungjawab Sosial di Bilik Persidangan, CenPRIS, di sini baru-baru ini.

Justeru katanya, konflik yang menimbulkan ketegangan di antara dua negara tidak seharusnya berlaku seperti isu asal-usul batik, pertikaian lagu dan terkini isu popia jika sekiranya semua pihak dapat memahami susur-galur sejarah lampau.

``Kita perlu mencari penyelesaian terbaik untuk menghentikan sebarang pertikaian mengenai isu-isu sebegini. Kita juga perlu melihat persamaan tersebut sebagai satu kekuatan yang mengangkat ketinggian seni peradaban kaum Melayu yang perlu diketengahkan,’’ katanya. Teks Marziana Mohamed Alias Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1455

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024