USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ERMAN KAMAL ANTARA PESURUHJAYA SUMPAH TERMUDA NEGARA: SEDIA PERKHIDMATAN KEPADA WARGA KAMPUS

11232023 1206195416073643 8053345609811042146 n

PULAU PINANG, 13 Ogos 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) kini mempunyai perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah (PS) yang berpusat di Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BPSM) bermula 1 Julai 2015 apabila Pembantu Tadbir BPSM, Erman Kamal Mustafa Kamal, 31, telah menerima lesen atau permit bagi menjalankan tugas-tugas Pesuruhjaya Sumpah selama dua tahun iaitu sehingga 30 Jun 2017.

Erman Kamal yang bertugas di USM sejak 2004 dan pernah berkhidmat di Pejabat Perundangan USM selama 10 tahun diberi peluang dan ruang untuk merealisasikan hasrat untuk membantu warga USM setelah melihat kesukaran staf baharu memeterai akuan bersumpah atau surat akta berkanun yang wajib diisi.

“Saya telah menjalankan bancian di negeri Pulau Pinang ini dan mendapati hanya terdapat dua orang Pesuruhjaya Sumpah dalam kalangan 13km dari USM iaitu di Bayan Lepas dan di Bandaraya Georgetown yang akan menimbulkan masalah serta menyukarkan staf atau sesiapa sahaja untuk mendapatkan akuan sumpah kerana jarak yang jauh dari USM serta ada dalam kalangan staf yang pertama kali menjejakkan kaki ke negeri Pulau Pinang,” ujar Erman Kamal.

“Apabila hal ini dibincangkan bersama Penasihat Undang-Undang dan Pendaftar, mereka memberi maklum balas yang positif dan saya terus mengisi borang permohonan untuk menjadi Pesuruhjaya Sumpah,” tambah Erman Kamal.

11831791 1206195439406974 8598961407616839800 n

Menurut Erman Kamal yang menjadi antara Pesuruhjaya yang termuda di negara ini, proses untuk mendapatkan lesen tersebut mengambil masa lebih kurang setahun dan bagi penjawat awam, tiada peperiksaan yang perlu diduduki hanya temuduga bersama Hakim Mahkamah Persekutuan dan Ketua Pendaftar Bahagian Pesuruhjaya.

“Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman menyambut baik hal ini kerana USM adalah satu-satunya Institusi Pengajian Tinggi yang mempunyai Pesuruhjaya Sumpah yang aktif dan ini bertepatan dengan moto USM iaitu Kami Memimpin,” tambahnya lagi.

Apabila ditanya kenapa USM perlu ada Pesuruhjaya Sumpah, Erman Kamal menjelaskan, hal ini adalah kerana sebagai sebuah institusi yang banyak melahirkan para sarjana di dalam dan luar negara, perkhidmatan yang baik perlu diberikan untuk warganya dan juga masyarakat setempat.

Pesuruhjaya Sumpah terbahagi kepada tiga kategori iaitu dalam kalangan penjawat awam, peguambela dan peguamcara serta persendirian. Mereka yang memerlukan perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah, Erman Kamal boleh dihubungi di talian 046536072 atau emel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. .

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 10791

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024