USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM AD’TRANS DIDIK PELAJAR HAYATI SEMANGAT KELESTARIAN BERSAMA KOMUNITI

IMG 4376

PULAU PINANG, 10 Ogos 2015 – Program Ad’Trans 3.0 yang bertujuan  menggerakkan aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM)  mendekati  masyarakat melalui sistem pengangkutan perkhidmatan awam Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)  diteruskan pada tahun ini dengan melalui kawasan-kawasan seperti Butterworth, Alor Setar, Arau, Padang Besar dan Hatyai Thailand yang  melibatkan 13 orang pelajar sebagai kesinambungan program yang dijalankan tahun lalu di Pantai Timur dan dimulakan dua tahun di negeri Johor.

Ad’Trans 3.0 kali ini adalah hasil kerjasama antara USM melalui Desasiswa Aman Damai dan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) bersama-sama KTMB dan iM4U yang lebih berfokus kepada Baktisiswa di lokasi-lokasi seperti SK Iskandar Kedah, SK Oran Perlis, Rumah Teratak Rahmat Perlis, Kuarters KTMB Perlis dan Prince Songkla University (PSU) Hatyai Thailand yang melibatkan juga aktiviti komuniti seperti siri motivasi, keluarga angkat dan saudara angkat.

IMG 4375

Pelajar Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan selaku Pengarah Projek, Intan Suraya Binti Zainol, 22 berkata, pendekatan melalui program seperti ini adalah selari dengan dasar kerajaan menggalakkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam untuk penjimatan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menjaga kelestarian dan kebersihan udara Malaysia.

“Harapan saya agar segalanya berjalan lancar dan segala objektif akan dicapai dengan jayanya bagi mewujudkan masyarakat yang berdaya saing, mampu berdikari serta mahir dalam mengendalikan perkara berkaitan kelestarian secara berterusan dengan impak yang positif dalam menghadapi cabaran pada era globalisasi ini," katanya lagi.

IMG 4347

Pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakan selaku Timbalan Pengarah Projek Ad’Trans 3.0, Muhamad Syukran Bin Abdul Rahman@Omar, 23, pula mengharapkan  agar pembangunan peribadi holistik pelajar dapat dijana melalui penyertaan program seperti ini agar kejayaan pada  masa hadapan dapat dikecapi dalam  berbakti kepada agama, bangsa dan negara melalui usaha khidmat komuniti ini.

IMG 4372

“Kami memperjuangkan agenda kelestarian yang merupakan nadi USM dengan turut  berkempen ‘Katakan tidak kepada beg plastik’ di dalam keretapi dan juga komuniti,” tegasnya.

Muhamad Syukran mengharapkan program ini akan berjalan lancar sepanjang minggu ini dari mula hinggalah tamat sebagai pencetus semangat kelestarian pelajar pada masa hadapan.

Pegawai pengiring yang juga Penolong Penggawa Desasiswa Aman Damai, Mohd Zuaril Akimi Bin Mohd Shaari berkata, Program Ad'Trans merupakan inisiatif pelajar yang menjadi flagship Desasiswa Aman Damai USM melalui kerjasama strategik dengan pihak KTMB.

IMG 4374

IMG 4377

"Keunikan program ini adalah penerapan budaya kesukarelawanan dan khidmat komuniti yang memfokuskan kepada penduduk berhampiran dengan landasan atau stesen keretapi dan melalui program ini, pelajar berpeluang untuk menimba pengalaman berurusan dengan pihak korporat seperti KTMB serta menyelami kehidupan penduduk persisir laluan keretapi," katanya.Jelasnya lagi, elemen kelestarian yang menjadi agenda utama Universiti juga dapat diperluaskan melalui kempen kepada pengguna keretapi selain peserta yang terlibat dapat melakukan praktikal program pemindahan ilmu dan kempen penjimatan elektrik bersama sekolah terpilih di Alor Setar dan Arau.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1487

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024