USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

URUS DIABETES SEBAIK MUNGKIN, PENGGUNAAN HERBA BOLEH MENJADI PILIHAN

 DSC0218fhdf

PULAU PINANG, 9 Ogos 2015 – Diabetes melitus ataupun penyakit kencing manis adalah satu keadaan yang berlaku apabila tahap gula dalam darah lebih tinggi daripada normal. Ini disebabkan pankreas dalam badan tidak menghasilkan insulin atau apabila badan kita tidak boleh menggunakan insulin dengan berkesan ataupun kedua-duanya sekali.

Demikian dijelaskan oleh pensyarah Disiplin Farmasi Klinikal, Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Zuraidah Mohd. Yusoff dalam ceramah kesihatan bertajuk “Diabetes Melitus dan Rawatan” hari ini.

Tambahnya lagi, apabila insulin gagal dihasilkan atau tidak berfungsi dengan baik, ia tidak dapat mengangkut masuk glukos atau gula ke dalam sel dan tisu badan, maka sel atau tisu akan rosak disebabkan tidak mendapat tenaga yang diperlukan dan seterusnya tahap gula dalam badan menjadi tinggi dan boleh menyebabkan kerosakan organ-organ  dalam badan.

 DSC0203vbng

Menurutnya lagi, seseorang dianggap menghidap diabetes apabila tahap gula darah semasa berpuasa  melebihi 7 mmol/L  ataupun  tahap gula yang diambil secara rawak melebihi 11.1 mmol/L,” kata Zuraidah kepada kira-kira 150 orang peserta Seminar Kesihatan, Herba dan Peluang Perniagaan.

Katanya, penyakit kencing manis ataupun diabetes bukanlah suatu perkara yang boleh diambil ringan yang merupakan pembunuh yang senyap (silent killer) dan boleh menyebabkan seseorang pesakit menjadi buta, mengalami komplikasi buah pinggang, masalah jantung, strok dan mengakibatkan amputasi kaki akibat luka yang tidak sembuh serta melarat  dan masalah-masalah kronik yang lain.

Zuraidah menjelaskan yang diabetes terbahagi kepada dua jenis iaitu jenis 1 (bergantung kepada insulin) yang  biasanya berlaku pada kanak-kanak dan remaja, manakala diabetes jenis 2 (tidak bergantung kepada insulin) selalunya dihidapi oleh golongan yang berumur atau mempunyai berat badan secara berlebihan dan diabetes juga boleh berlaku semasa mengandung yang dikenali sebagai diabetes melitus gestasi (gestational diabetes).  

Tambah Zuraidah lagi, amalan gaya hidup kini turut mempengaruhi masalah kesihatan masyarakat  seperti pemakanan  yang berlebihan dan kekurangan aktiviti fizikal, malah ramai yang tidak sedar risiko kesihatan jangka panjang yang mereka boleh hadapi secara beransur-ansur akibat budaya ini.

Pada masa yang sama, Zuraidah menggesa orang ramai segera menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala di mana-mana pusat perubatan  yang menawarkan pemeriksaan ini.

“Mengurus dan mengawal paras glukos merupakan matlamat utama dalam merawat pesakit diabetes supaya mereka dapat kualiti kehidupan yang baik serta menghalang komplikasi-komplikasi.  Malahan  mengurus dan mengawal kencing manis memerlukan pendekatan menyeluruh bukan sekadar ubat-ubatan dan kawalan makanan, tetapi perlu dilengkapkan dengan aktiviti fizikal atau bersenam seperti berjalan selama 20  hingga 30 minit sehari,” katanya lagi.

Tambahnya, antara tanda atau gejala yang dialami oleh pesakit adalah kerap membuang air kecil, sentiasa dahaga, letih dan hilang berat badan dengan mendadak. Penyakit kencing manis adalah  penyakit seumur hidup yang rawatannya bertujuan  melegakan gejala yang ada serta  mengembalikan paras gula darah kepada paras normal dan juga mencegah komplikasi.



 DSC0219gdffg

Sementara itu, Pensyarah Farmakognosi, Pusat Pengajian Sains Farmasi yang juga Penyelaras EcoHub USM, Professor Madya Saad Othman turut berkongsi kepakarannya berkenaan herba dan menjelaskan  tentang pelbagai sistem perubatan yang digunakan di Malaysia seperti perubatan alopati (perubatan moden), perubatan tradisional dan perubatan komplementari yang mendapat perhatian pihak berkuasa yang mengadakan “Dasar Perubatan Tradisional Dan Komplementari” (T&CM) pada tahun 2001 bagi menangani isu-isu berkaitan dengan pengamalan, produk, penyelidikan, dan pertauliahan pengamal T&CM.

Menurut Saad, seperti bangsa-bangsa dan ketamadunan lain, orang Melayu juga mempunyai sistem perubatannya sendiri yang telah diamalkan sejak ribuan tahun yang lalu dengan lokasi geografinya yang sangat strategik dan menjadi persinggahan pedagang antarabangsa, maka pengaruh-pengaruh dari kebudayaan besar ini, sistem perubatan Melayu menjadi sangat metropolitan sifatnya.

“Terdapat banyak herba yang digunakan untuk rawatan Diabetes Melitus dan bagi orang Melayu beberapa herba seperti akar seruntun, hempedu bumi, belimbing tanah, sambung nyawa, pokok mahogany, buah peria dan pokok Afrika telah digunakan yang kebanyakan herba ini rasanya pahit dan kini banyak dijual dalam bentuk kapsul,” kata Saad.

Tambahnya lagi, pada masa ini juga terdapat alternatif produk baru di pasaran iaitu “GC Tea” dalam formulasi “teh herba” yang dihasilkan dalam bentuk uncang yang boleh diminum seperti teh biasa dan tidak pahit dan telah digunakan sebagai komplementari kepada rawatan Diabetes Melitus yang telah sedia ada.

Menurut Saad, teh ini terdiri dari satu ”concoction” 6 jenis herba iaitu Gymnema sysvestre, Aspalathus linearis, Camellia sinensis, Mentha x piperita, Stevia rebaudiana dan Mores alba. Contohnya herba Gymnema sysvestre yang telah lama digunakan di India dan Sri Lanka sebgai rawatan diabetes dan 6 jenis herba ini berasal dari benua yang berlainan seperti India, Afrika, China, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Selatan dengan menggelarkan teh ini sebagai “Resepi Merentas Benua”.

Teks Asal: Siti Naquiah Abdillah / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 2349

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024