USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ISDEV ADAKAN MAKMAL SOSIO-AKADEMIK BERSAMA UNISSA BRUNEI DARUSSALAM

photo 1

GADONG, BRUNEI DARUSSALAM, 28 Julai 2015 - Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia buat pertama kalinya mengadakan Makmal Sosio-Akademik bersama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) selama sebulan bermula semalam hingga 28 Ogos ini.

Perasmiannya dilakukan oleh Rektor UNISSA Dr. Haji Norarfan Haji Zainal yang teks ucapannya dibaca oleh Timbalan Rektor Dr Haji Mohammed Hussain Pehin Penyurat Haji Ahmad di Hotel Rizqun International Gadong.

Menurut Haji Mohammed Hussain, mahasiswa perlu merebut peluang keemasan semaksimum mungkin melalui perkongsian ilmu dan pengalaman tersebut dan hubungan USM melalui ISDEV dengan UNISSA perlu diteruskan secara berterusan.

photo 2

“Ditambah lagi dengan program Khatam Al-Quran UNISSA-ISDEV selama sebulan diharapkan akan dapat meningkatkan kecintaan kepada Bahasa Arab sebagai bahasa Al-Quran dan bahasa ibadat,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah ISDEV Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh menjelaskan, makmal ini adalah sebahagian daripada hasil penandatanganan Memorandum Persefahaman USM-UNISSA pada tahun 2011 yang bertujuan mendedahkan para calon Sarjana dan Kedoktoran ISDEV kepada modul pengajaran Bahasa Arab di UNISSA khususnya melalui Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Pusat Penataran Bahasa dan Pusat Pengajian Lepas Ijazah.

photo 3

"Para peserta bukan sahaja didedahkan kepada penguasaan bahasa Arab malah juga kepada pelbagai aktiviti akademik dan sosial termasuk aktiviti amal di pelbagai tempat seluruh negara Brunei Darussalam sepanjang mengikuti makmal ini," kata Muhammad Syukri yang juga merupakan Profesor Adjung di UNISSA.

Tambahnya lagi, dalam makmal ini juga, ISDEV menjalin hubungan strategik dan perkongsian pintar antara siswazah dalam bidang ilmiah menerusi penganjuran kolokium, sesi dialog, sesi pengkongsian ilmu dan pengalaman, serta tugasan secara berkumpulan.

photo 4

Yang hadir sama semasa majlis perasmian makmal ini ialah Pehin Orang Kaya Lela Raja Dato' Seri Laila Jasa Hj. Abdul Rahman Haji Abdul Karim yang merupakan Pengarah Eksekutif Abdul Razak Holdings Brunei Darussalam, yang antara lain memiliki Hotel Antarabangsa Rizqun tersebut yang menaja makanan dan penginapan seramai 22 orang pelajar dan dua orang pensyarah pengiring ISDEV berserta Ahli Jawatankuasa dari UNISSA sepanjang sebulan program tersebut berjalan. Pehin Dato' Hj. Abdul Rahman juga merupakan Ahli Majlis Penasihat ISDEV.​

Teks: Mohamad bin Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1099

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024