USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TABUNG DARAH IPPT RAYU PENDERMA BEKALAN DARAH

Derma Darah New

BERTAM, 28 Julai 2015 - Tabung Darah, Unit Perubatan Transfusi, Makmal Diagnostik Termaju, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) memerlukan bekalan darah bagi menampung kegunaan pesakit di wad sedia ada dan bilik bedah yang akan beroperasi tidak lama lagi.

Menurut Ketua Unit Perubatan Transfusi, Makmal Diagnostik Termaju IPPT, Dr. Sharifah Azdiana Tuan Din, masalah kekurangan bekalan darah bukan sahaja dihadapi di IPPT malahan turut berlaku di seluruh negara.

“Bekalan darah di seluruh negara mula berkurangan ekoran daripada banjir besar yang berlaku di Pantai Timur pada penghujung tahun lepas,” katanya.

Menurutnya lagi, Pusat Darah Negara (PDN) kini terpaksa beroperasi sehingga waktu malam bagi mengumpul stok bekalan darah bagi memenuhi permintaan hospital-hospital yang memerlukan kerana bekalan darah yang mencukupi amat penting untuk menyelamatkan nyawa manusia.

 MG 1643jbj

Faktor kekurangan bekalan darah ini turut berpunca daripada kekurangan penderma darah pada bulan Ramadhan yang lalu dengan kebanyakan unit tabung darah hospital mengalami penurunan bilangan penderma darah sehingga menyebabkan kekurangan stok darah khususnya bagi kumpulan-kumpulan darah tertentu.

Ramadhan lalu, Unit Perubatan Transfusi IPPT telah beberapa kali mengadakan kempen derma darah selepas solat Jumaat di Masjid Abdullah Fahim, Bertam bagi memenuhi bekalan tabung darah di IPPT yang semakin berkurangan.

Ketika ditanya tentang rancangan masa hadapan, Azdiana berkata, Unit Perubatan Transfusi IPPT mensasarkan untuk mengadakan kempen derma darah secara bergerak di tempat-tempat awam setiap bulan.

“Kita tidak boleh sekadar mengharapkan penderma datang ke tempat kita, sebaliknya perlu turun padang untuk memudahkan mereka menderma,” kata Pakar Perubatan Transfusi itu lagi.

Pihaknya berharap agar seluruh masyarakat lebih prihatin dan tampil menderma darah bagi membantu mereka yang memerlukan.

Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid

  • Created on .
  • Hits: 1495

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024