USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JADI PUSAT KOORDINASI PROGRAM PERINGKAT KEBANGSAAN JBPM

bomba 151045

NIBONG TEBAL, 28 Julai 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia menjadikan Kampus Kejuruteraan, USM Nibong Tebal sebagai pusat koordinasi Pertandingan Kawad Kecekapan Operasi Kebombaan Peringkat Kebangsaan Kali Ke-17 Tahun 2015 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak berkata universiti sedia memberi kerjasama dan membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam menjayakan program besar itu.

bomba 151023

“Saya berharap pihak JBPM berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan dan memenuhi kehendak walaupun tidak secara sepenuhnya,” kata Zainal semasa mempengerusikan Mesyuarat Akhir Bersama Pengarah Kampus Kejuruteraan dengan jabatan itu di sini semalam.

Beliau mengalu-alukan kedatangan lebih 1000 peserta termasuk pegawai dan juri yang akan berkampung di dalam Kampus Kejuruteraan bermula 14 Ogos 2015 dan akan berakhir pada 20 Ogos 2015.

Zainal turut berpuas hati dengan persiapan yang telah dibuat Jawatankuasa Universiti yang diketuai oleh Pegawai Pejabat Pengarah, Kampus Kejuruteraan iaitu  Mohd Kamil Ashar dengan beberapa siri perbincangan dan lawatan yang telah dibuat sebelum ini.

Bomba 151003

“Kami berbangga kerana pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudi memilih Kampus Kejuruteraan USM sebagai lokasi utama program besar seperti ini dan mengharapkan supaya hubungan kerjasama tidak terhenti pada kali ini sahaja malah boleh diteruskan untuk program-program komuniti lain pada masa depan,” kata Zainal lagi.

Tegas beliau, jalinan kerjasama dan hubungan dengan pihak luar merupakan agenda universiti yang selari dengan objektif APEX yang bukan sahaja melahirkan siswazah dan produk penyelidikan yang boleh dikomersilkan malah penglibatan komuniti untuk kesejahteraan dan kelangsungan masa hadapan.

bomba 153054

Yang hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Penolong Pengarah, Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Pulau Pinang, Tuan Keya Nordin Said dan Ketua Zon 1 yang juga dari JBPM Pulau Pinang, Tuan Azman Ibrahim serta beberapa pegawai yang merupakan urus setia program.

Teks: Mohd Kamil Ashar/Foto: Suhaimi Shahidin

  • Created on .
  • Hits: 1093

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024