USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRESIDEN B. BRAUN MELAWAT HOSPIS IPPT

bbraun2

BERTAM, 14 Julai 2015 - Presiden B. Braun Medical Industries Sdn. Bhd. (Asia Pasifik), Anna Maria Braun mengadakan kunjungan ke kampus Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT)  Universiti Sains Malaysia (USM) untuk melihat dari dekat perkhidmatan penjagaan pesakit kanser atau dikenali sebagai Hospis di sini.

Cucu pengasas syarikat pembekal peralatan perubatan terkemuka dunia itu diberikan taklimat dan penerangan berkenaan perkhidmatan yang dijalankan di IPPT oleh Timbalan Pengarah Klinikal IPPT, Dr. Muhammad Yusri Musa.

Kata Muhammad Yusri, IPPT kini sedang dalam usaha mewujudkan Rumah Hospis yang lebih selesa dan lengkap dan tidak hanya merawat pesakit dewasa, tetapi juga pesakit kanser kanak-kanak.

“Kematian akibat kanser di dunia dijangka terus meningkat, dengan anggaran 9 juta orang mati akibat kanser pada tahun 2015 dan 11.4 juta akan mati pada 2030,” tambahnya lagi.

Menurut Muhammad Yusri, IPPT kini telah menerima pesakit-pesakit rujukan daripada hospital kerajaan sekitar utara Semenanjung Malaysia untuk mendapatkan rawatan selepas menerima peralatan radioterapi sejak April lalu.

Anna Maria Braun turut dibawa melawat persekitaran Kompleks Klinikal seperti Klinik Onkologi dan Wad Pesakit Dalam yang menempatkan pusat penjagaan pesakit kanser. Anna juga menyampaikan buah tangan serta duit raya kepada pesakit yang sedang mendapatkan rawatan.

bbraun4

Yang turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey dan Pengarah IPPT, Profesor Abd. Aziz Tajuddin. - Teks: Mohd Faisal Jamaludin

  • Created on .
  • Hits: 1272

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024