USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAMU JANGGUT HIBA TERIMA SUMBANGAN USM

 

mamu4

PULAU PINANG, 14 Julai 2015 – Menjelang berakhirnya Ramadhan Al-Mubarak ini, warga Universiti Sains Malaysia (USM) menunjukkan keprihatinan dengan menyumbang sebanyak RM4,000 melalui kutipan derma kilat untuk keluarga Ismail Abdllah, 63, yang mesra dipanggil “Mamu Janggut” dalam kalangan mereka yang mengenalinya.

Kutipan ini dibuat oleh Pusat Media dan Perhubungan Awam USM dari saranan dan keprihatinan Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman setelah mendapat maklumat dari rakan pemberita media di Pulau Pinang.

Bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama 13 tahun itu, sumbangan ini amat besar makna dan sangat menyentuh hatinya apatah hidup dalam serba kedaifan dan hanya mampu berbuka puasa serta bersahur dengan menjamah bubur lambuk ehsan pihak masjid berhampiran rumahnya.

Dia berhenti secara sukarela dari TUDM disebabkan masalah peribadi yang enggan dikongsi bersama.

Ismail tidak mampu berjalan setelah mengalami sakit belakang kronik akibat terlalu banyak melakukan kerja berat dan keadaannya bertambah teruk sejak kebelakangan ini.

“Saya mula mengalami sakit belakang sejak 20 tahun lalu dan sehingga kini taraf kesihatan menjadi semakin teruk. Dari boleh berjalan kini hanya mampu duduk sahaja. Keadaan semasa tidak mengizinkan saya keluar mencari rezeki seperti biasa, pun begitu saya perlu menyara isteri dan dua orang anak, yang mana salah seorang kini mengalami sakit mata kronik," katanya lagi.

mamu5

"Mamu Janggut" menyewa rumah di Kampung Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang mencari nafkah dengan memungut barang terpakai di dalam tong sampah kawasan sekitar dengan menggunakan motosikal tiga roda tanpa lesen dengan pendapatan kira-kira RM15 sehari dan kehidupannya bertambah sukar apabila menghidap lumpuh separuh badan sejak tahun lepas.

Anak bongsunya, Nur Ummi Jamaliah, 11, mengalami sakit mata kronik dan terpaksa berulang-alik untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sedang berusaha memohon pihak HKL supaya anaknya dapat dirawat di Hospital Besar Pulau Pinang kerana tidak mampu untuk menanggung kos perbelanjaan pengangkutan.

mamu3

Isterinya, Jamaliah Maani, 53, seorang suri rumah turut menjalankan kerja-kerja sampingan seperti membersihkan pakaian jiran-jiran bagi membantu menyara kehidupan termasuk membesarkan anak sulung mereka yang bersekolah, Nur Ummi Aishah, 15 dan adiknya.

mamu1

“Saya amat berterima kasih pada kakitangan USM yang telah memberi sumbangan dan berharap dapat digunakan untuk menampung masa hadapan kami sekeluarga di samping rasa terharu kerana pihak USM sanggup bersusah-payah datang menjenguk dan mendekati keluarga saya serta dapat juga menolong terutamanya persekolahan dan perubatan anak kami," kata Ismail.

Selain wang tunai, sumbangan staf USM turut meliputi pakaian dan kuih raya.

Yang prihatin terhadap keluarga ini dan ingin membantu boleh berhubung terus dengan Mamu Janggut di talian 011-24137829.

Teks/Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1204

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024