USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SINGGAH SAHUR HARGAI WIRA TAK DIDENDANG

IMG 0251

KUBANG KERIAN, 11 Julai 2015 - Suasana dingin awal pagi di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) cukup berbeza apabila kesepian yang ada diisi dan dimeriahkan dengan kehadiran pasukan yang mengagihkan juadah sahur untuk petugas dan mereka yang menjaga pesakit di wad.

Diketuai sendiri oleh Pengarah Hospital USM Dato' Dr Zaidun Kamari selaku penasihat program singgah sahur kali ini krew berkumpul di perkarangan hospital seawal jam 3.00 pagi untuk memulakan kerja pengagihan juadah sahur.

IMG 0264

Menurut Zaidun, program singgah sahur ini sudah menjadi tradisi pihak pengurusan Hospital USM setiap kali Ramadhan dalam mendekati masyarakat dan warga staf yang bekerja pada syif malam.

"Waktu kita masih lagi tidur nyenyak dan lena dibuai mimpi, wira-wira inilah yang bertugas dan memastikan kesemuanya berjalan lancar menjaga kesihatan masyarakat dan sumbangan sekecil ini diharap dapat membuatkan mereka berasa dihargai dan sentiasa diingati kerana merekalah sebenarnya wira yang menjaga kita tanpa mengira masa," kata Zaidun.

Jelasnya, kebanyakan warga staf yang bekerja syif malam pada bulan Ramadhan akan bersahur secara ala kadar kerana mereka perlu menjaga pesakit sepanjang masa bertugas namun Pengurusan Hospital USM sedar dan tidak pernah abaikan kebajikan mereka.

IMG 0258

Bagi Ketua Jururawat Rusilla Abu Samah, kehadiran dan kunjungan daripada Pihak Pengurusan bersama krew singgah sahur pada awal pagi ini membuatkannya terharu.

"Memang seronok tengok ada yang masih mengambil berat, prihatin dan sedar akan kami yang tidak pulang ke rumah dan bersahur bersama keluarga dan kami akan agih-agihkan makanan bersahur ini, sekurang-kurangnya adalah juadah untuk bersama rakan sekerja pada pagi ini," katanya.

IMG 0271

Russila yang juga Penyelia Bertugas itu berharap agar program sebegini akan berterusan dalam memberikan semangat kepada semua staf yang bertugas terutamanya di bulan Ramadan.Program singgah sahur ini disudahi dengan slot qiamullai, bersahur bersama warga staf dan sembahyang subuh berjemaah yang telah diimamkan oleh Ustaz Adli Abdul Razak.

Teks: Mohamad Ridzwan Ramly/Foto: Wan Mohd Rasidi

  • Created on .
  • Hits: 818

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024