USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WARGA USM DIGALAK TERUSKAN AMALAN BERSEDEKAH

 MG 1584

BERTAM, 10 Julai 2015 - Setiap warga Universiti Sains Malaysia (USM) diseru agar meneruskan usaha untuk membantu dan memberi sumbangan sedekah jariah kepada golongan yang kurang bernasib baik terutamanya di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Berucap dalam Majlis Iftar Perdana anjuran Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), di sini semalam, Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman menyeru agar usaha murni untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat sekitar perlu diteruskan.

"Walaupun ianya bukan bidang penghasilan utama universiti, sekurang-kurangnya ia dapat menjadi salah satu tugas amal yang dilakukan demi meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat," katanya.  

 MG 1547

 MG 1551

"Bantuan yang berterusan mampu mendekatkan universiti terutamanya IPPT kepada masyarakat sekitar, bukan sahaja menerusi perkhidmatan kesihatan dan rawatan terbaik yang diberikan, namun ia meliputi segala aspek kehidupan yang lebih sempurna," tambahnya lagi.

Majlis yang diadakan di Perkarangan Kompleks Klinikal ini dihadiri 300 warga IPPT dan keluarga, anak yatim serta ibu tunggal merupakan program tahunan bagi merapatkan hubungan silaturahim dan juga mengaktifkan lagi interaksi hubungan kerja antara warga IPPT dengan pucuk pimpinan USM serta keluarga staf selain meraikan dan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Sumbangan duit raya dan barang keperluan harian disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan kepada hampir 30 orang penerima.

 MG 1562

 MG 1570

Menerusi sumbangan yang diberikan, sekurang-kurangnya dapat memberikan keceriaan kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengarah IPPT Profesor Dr. Abd. Aziz Tajuddin, Pengarah Pusat Islam Profesor Dato’ Dr. Muhammad Idiris Saleh serta Timbalan-timbalan Pengarah IPPT. - Teks: Mohd Faisal bin Jamaludin

  • Created on .
  • Hits: 1206

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024