USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BANTU ANAK-ANAK ROHINGYA DEMI KEMANUSIAAN

PULAU PINANG, 10 Julai 2015 - Pembangunan modal insan dan pendidikan untuk anak-anak Rohingya perlu berterusan demi kemanusiaan sejagat serta sebagai tanda solidariti dan keprihatinan demi masa hadapan mereka.

Setiausaha Persatuan Staf Islam (PSI) Universiti Sains Malaysia (USM) selaku Pengarah Projek Konvoi Iftar Bersama Anak Rohingya (KIBAR) 2.0, Ustaz Zayd Zhari, 38, berkata demikian ketika menyampaikan duit raya dan sumbangan raya bersempena Konvoi Iftar Bersama Anak Rohingya (KIBAR) 2.0 di Rohingya Education Centre (REC), Taman Arowana, Seberang Jaya, di sini, semalam.

Katanya, anak-anak ini perlu dibantu supaya mereka lebih memahami kepentingan pendidikan dan perjuangan yang terpaksa ditempuhi untuk meneruskan kehidupan selain mengubah nasib keluarga mereka pada masa hadapan.

“Program ini merupakan sebahagian daripada program libatsama komuniti yang dianjurkan oleh PSI-USM bertujuan memperkenalkan usaha-usaha yang dilakukan oleh Pertubuhan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membantu anak-anak Rohingya ini dalam mendapat pendidikan yang sempurna,” ujarnya lagi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam USM.

Jelas Zayd, usaha-usaha pihak NGO ini perlu diberi sokongan yang sewajarnya selain dapat memberi kesedaran kepada masyarakat  tentang kehidupan mereka dan hak-hak manusia untuk mendapat perlindungan, keselamatan dan pendidikan sebagaimana yang diseru agama.

Pengerusi PSI-USM Profesor Madya Dr. Roslan Ahmad, 55, berkata, program berbentuk sukarelawan dan libatsama komuniti sebegini akan diteruskan supaya ahli-ahli PSI yang lain dapat lebih mendekati dan menyelami hati mereka yang kurang bernasib baik di muka bumi ini.

Tambahnya lagi, masalah penindasan etnik Rohingya semakin melarat kerana etnik itu tidak diiktiraf oleh kerajaan Myanmar sebagai warganegaranya dan sentimen kebencian di negara tersebut adalah berterusan, justeru pada bulan yang mulia ini, pihak PSI-USM telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program ini yang sedikit sebanyak mampu memberikan keceriaan kepada mereka.

“Dengan suntikan sumbangan yang tidak seberapa ini, diharap mampu memberi sedikit keceriaan kepada anak-anak Rohingya yang memerlukan selain memberi kesedaran kepada kita supaya bersyukur dengan keamanan dan rezeki yang dimiliki,” ujarnya lagi yang merupakan  Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal USM.

Salah seorang guru Rohingya Education Centre (REC), Nasriah Awang, 49, pula berkata, komuniti itu perlu dibantu di dalam usaha memberikan pendidikan yang sewajarnya kerana tanpa pelajaran, anak-anak ini tidak mampu untuk membangunkan semula minoriti mereka pada masa akan datang.

“Walaupun mereka datang dari latar belakang yang berbeza, namun itu bukanlah halangan buat kami untuk terus mendidik anak-anak ini menjadi insan yang berguna bagi membantu kaum minoriti mereka masa akan datang,” katanya.

Jelasnya, sebahagian daripada anak-anak Rohingya ini dapat berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Melayu memandangkan kebanyakannya dilahirkan di negara ini, manakala selebihnya yang baru datang ke sini tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa ibunda tersebut, namun dalam masa tidak sampai enam bulan mereka mampu berkomunikasi dengan lancar.

Ahli PSI-USM Mohd Hadzri Abdullah, 54, pula memberitahu dia gembira dapat bersama-sama berkongsi keindahan Ramadhan bersama-sama anak-anak Rohingya ini dan berharap masyarakat luar akan terus menghargai keamanan dan sentiasa mensyukuri nikmat kehidupan yang ada.

"Moga program-program sebegini akan terus dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran komuniti berkenaan isu-isu mahupun hal ehwal sejagat,” ujar Penolong Pegawai Sains di Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat itu lagi.

Sementara itu, salah seorang pelajar REC, Shahida, 11, memberitahu dia bersyukur kerana dapat tinggal di Malaysia dan belajar bersama rakan-rakan yang lain di sini  selain memasang impian untuk bergelar guru untuk membantu ibu bapanya yang susah.

Rakannya, Intan Nur Kamelia, 8, pula berkata, dia gembira kerana guru-guru di REC banyak membantu terutamanya dalam pelajaran selain rakan senegaranya di sini.

Program yang telah masuk tahun kedua penganjurannya ini bertujuan meraikan anak-anak pelarian Rohingya yang sedang berada di negara kita sebagai tanda solidariti dan keprihatinan PSI-USM. Majlis ini melibatkan 150 orang pelajar yang terpilih dari jumlah keseluruhan 250 orang pelajar, 15 orang guru dan pentadbir serta 35 orang ahli PSI-USM.

Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1525

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024