USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BANTUAN BUKAN SEKADAR WANG RINGGIT

kUBANG KERIAN, 7 Julai 2015 – Mengambil keberkatan Ramadhan tahun ini, warga Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), di sini memberi sinar kepada penghuni Rumah Anak-Anak Yatim Lilbanat Darul Naim Tahfiz dan Kemahiran, Banggol Judah, Machang dengan bantuan kelengkapan asrama bagi memberi keselesaan kepada mereka.

Pengarah Program, Roziana Mohamed Hanaphi berkata, bantuan yang diberikan melangkaui wang ringgit semata-mata, sebaliknya lebih menekankan kepada aspek keselesaan dan pembangunan pendidikan akademik penghuninya.

Katanya, program khas itu juga dibuat bagi mendekatkan diri warga INFORMM dengan anak-anak kurang bernasib baik dengan meraikan mereka dalam majlis iftar, serentak penyerahan sumbangan seperti meja belajar, rak kasut, ampaian dan pelbagai lagi.

``Rumah anak-anak yatim ini mula ditubuhkan pada Oktober 2013 di bawah Pertubuhan Kebajikan Pembangunan Insan Kelantan. Majlis berbuka puasa ini merupakan program fasa satu daripada keseluruhan  program jangka panjang bersama anak-anak ini.

``Program ini juga dibuat selaras dengan hasrat USM untuk melahirkan mahasiswa yang berinovasi dalam mendekati masyarakat melalui Strategi 1 iaitu transformasi bakat dan sumber manusia ke arah memacu kecemerlangan pengajian tinggi,’’ katanya.

Tambah beliau, program jangka masa panjang itu turut dibuat dengan harapan untuk melihat persekitaran yang baik dapat melahirkan warga rumah anak yatim cemerlang dan terbilang.

Dalam pada itu, pengasas Rumah Anak-Anak Yatim Lilbanat Darul Naim Tahfiz dan Kemahiran, Mohd Nazrey Mohamad Nor pula berkata, pihaknya berterima kasih pada warga USM kerana sanggup datang dan menceriakan penghuni rumah amal tersebut.

Katanya, program seumpama itu perlu terus diperluas khasnya yang memberi penumpuan kepada pembangunan akademik anak-anak yatim bagi membolehkan mereka turut cemerlang dan menjadi insan terbilang pada masa depan.

``Kita amat berharap sekiranya terdapat kumpulan pelajar yang boleh mengadakan program akademik seperti tuisyen dan program mentor mentee bagi membantu meningkatkan tahap akademik anak-anak tersebut memandangkan kebanyakan mereka dikategorikan sebagai lemah akademik,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, program tersebut melibatkan 23 warga INFORMM yang terdiri dari pensyarah, pelajar siswazah, staf dan pelatih industri.

Program dimulakan dengan solat asar berjemaah diikuti sesi taaruf bersama anak-anak yatim bagi mengenali latar belakang keluarga dan permasalahan dalam pembelajaran.

Tinjauan kawasan telah dilakukan bagi mengenalpasti kemudahan yang perlu ditambah atau diperbaiki untuk program fasa seterusnya. Majlis berbuka puasa dimulakan dengan makan ringan dan bersolat maghrib. Teks: Ehsan INFORMM/Suntingan: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 907

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024