USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SELAMAT TAHUN BAHARU CINA – KUKUHKAN KESATUAN DALAM KEPELBAGAIAN

cny 2015
PULAU PINANG, 18 Februari 2015 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang menyambut perayaan tersebut dalam kalangan warga USM, para alumni mahu pun rakan taulan di mana sahaja berada.
 
"Perayaan Tahun Baharu Cina adalah detik penting yang seharusnya kita sambut bersama-sama dan berusaha memahami pelbagai budaya yang ada dengan menjadikannya sebagai kesatuan dalam kepelbagaian untuk dihargai dan diraikan bersama-sama," kata Omar.
 
Beliau juga menasihati semua agar sentiasa berhati-hati dalam merayakan sambutan ini apatah lagi pada setiap musim perayaan banyak nyawa yang melayang di jalanraya dan sesetengahnya terlantar menderita akibat sikap tidak sabar dan kecuaian yang seketika.
 
"Kita juga jangan lupa menziarahi rakan taulan apatah lagi mereka yang telah tiada lagi sanak saudara, warga emas mahu pun kaum keluarga jauh dan dekat yang memerlukan bantuan dan sokongan walau pun sekadar perhatian dan kasih sayang," tambah Omar.
 
Katanya lagi, sebagai sebuah universiti yang sangat mementingkan kelestarian dan nilai-nilai universal seperti kasih sayang dan pengorbanan, perayaan seperti ini seharusnya menjadi landasan untuk bersama-sama mengukuhkan silaturrahim dan saling bekerjasama untuk pembangunan negara, bangsa dan masa hadapan dunia yang lebih sejahtera.
 
"Bagi pihak semua, terutamanya Pengurusan Tertinggi USM, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina tahun ini dalam semangat persaudaraan untuk kita memacu kecemerlangan dan saling memahami, menghormati dan merealisasikan hasrat yang ingin dicapai bersama sebagai sebuah institusi dan organisasi ilmu demi masa hadapan kita dan generasi yang akan datang," kata Naib Canselor lagi.
 
  • Created on .
  • Hits: 1436

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024